Antara perkara yang dilakukan mereka ialah memasukkan unsur dakwah seperti kalimah syahadah, Rukun Islam, Rukun Iman dan sebagainya sebagai teras utama dalam jalan cerita wayang kulit, lagu-lagu gamelan, perayaan, pendidikan dan khidmat masyarakat.

Kepintaran yang dimiliki dai itu ketika berdakwah telah bukan sahaja menyaksikan Islam kekal dianuti oleh masyarakat Jawa, malah memahatkan nama mereka selaku pendakwah terkemuka di Indonesia dan Nusantara.

Sememangnya muzik dan manusia itu tidak dapat dipisahkan. Seperti irama dan lagu. Jika dipisahkan maka akan pincanglah irama dan rosaklah lagu.

Tidak kira untuk berdakwah, belajar, menulis atau bersukan, muzik memainkan peranan yang penting untuk melonjakkan semangat seseorang bagi mencapai sasaran yang sudah ditetapkan. Pendapat ini bagi kebanyakan orang amatlah mudah diterima.

Bagaimanapun, salah satu genre muzik yang sering menjadi sasaran negatif ialah Thrash/heavy/black/death metal. Fakta tahayul yang sering digunakan untuk menggambarkan genre muzik ini merosakkan minda dan bangsa ialah ia me­libatkan ajaran sesat.

Kononnya peminat death metal ialah peminum darah kambing, penyembah syaitan, mengamalkan seks bebas dan sebagainya. Ironinya, keba­nyakan pelajar institut pengajian tinggi di negara ini lebih cenderung mendengar muzik seumpama itu ketika mengulang kaji hingga ada yang me­nubuhkan band sendiri.

Boleh dikatakan tidak pernah kita dengar atau terbaca di dada-dada akhbar yang mereka itu menjadi orang yang disebutkan di atas. Bahkan, ada dalam kalangan mereka menjadi pelajar cemerlang dan melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti yang dibuktikan oleh Cromok.

Salah satu kajian terbaharu yang dilakukan oleh syarikat perisian, Atlassian yang berpangkalan di Australia mendedahkan, mendengar muzik death metal dapat membuatkan kerja pengatur cara lebih kemas dan tersusun.

“Kajian saintis mendapati, 3.2 peratus daripada 26 juta pembina perisian di seluruh dunia bersetuju bahawa mendengar lagu genre death metal membuatkan mereka lebih fokus sekali gus dapat menjadikan hasil kerja yang bermutu,” kata laporan tersebut.

Golongan ini bukan biasa-biasa kerana mereka bijak dan kreatif. Lagu-lagu yang mereka hasilkan adalah lahir daripada lirik yang direka berdasarkan suara hati yang dekat dengan kehidupan.

Berapa ramai anak tempatan yang terlibat dengan muzik bawah tanah namun memiliki kerja profesional yang memakai kot, kemeja dan tali leher. Jika dikaji, mereka sudah mendengar muzik seumpama itu sejak zaman di bangku sekolah membawa ke menara gading.

Bagaimanapun, kita ja­nganlah memandang serong kepada mereka ini kerana sejauh mana mereka pergi atau hanyut di dalam dunia heavy/death metal, akhirnya mereka tetap kembali kepada agama dan tidak lupa mengerjakan perkara yang termaktub di dalam Rukun Iman dan Islam.

Siapa sangka manusia yang bernama Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi sebenarnya peminat tegar Metallica walaupun beliau telah dipilih menjadi Presiden Indonesia yang ke-7. Apa yang jelas ialah beliau seorang yang terpelajar dan beragama Islam.

Itulah muzik. Ia sungguh universal kerana walau apapun genre lagu yang kita dengari sama ada daripada instrumen bertali, kompang atau tiupan, ia mampu melancarkan adre­nalin dan membuatkan otak kita cergas.

Jika dalam kumpulan agama, muzik atau lagu mereka ialah qasidah atau syair yang mengandungi puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW dan mengagungkan Allah atau menceritakan mengenai sejarah Islam.

Kesimpulannya, muzik yang sudah wujud sejak berkurun lamanya pasti tidak akan ber­akhir selagi adanya matahari dan bulan. Terpulang kepada diri masing-masing untuk memilih mana yang sesuai.