Pengertian bahagia berbeza-beza mengikut individu, budaya dan agama. Ada orang yang berasa bahagia sekalipun sekadar makan di kedai mamak, memandu kereta Myvi dan tinggal di apartmen sederhana. Sebaliknya, ada orang yang berasa tidak bahagia walaupun di Facebook selalu mempamerkan kekayaan dengan makan di hotel lima bintang, selain suka tayang kereta mewah atau rumah mewah.

Ramai pemikir yang cuba meng­huraikan makna kebahagiaan sebenar. Ahli falsafah British, John Stuart Mill pernah berkata, yang dimaksud dengan kebahagiaan adalah kesenangan dan hilangnya kesedihan; sedang­kan ketidakbahagiaan adalah kesedihan dan berkurangnya kesenangan. Beria-ria menunjuk bahagia bererti belum bahagia. Kebahagiaan itu selalunya dirasakan tanpa suara. Jika kita terpaksa ‘menjerit’ memberitahu orang lain yang kita bahagia, kita sebenarnya tidak bahagia.

Lazimnya, seseorang akan berasa gembira apabila hajatnya tercapai. Dengan kata lain, kegembiraan dan kebahagiaan berkait dengan jangkaan. Seseorang yang mendapat pampasan RM50,000 kerana diberhentikan kerja mungkin lebih gembira berbanding pekerja yang dibayar pampasan RM150,000. Keadaan ini berlaku kerana pekerja yang mendapat pampasan RM50,000 hanya menjangka akan mendapat RM40,000 sedangkan orang yang mendapat pampasan RM150,000 berasa kecewa kerana dia menjangka akan mendapat sekurang-kurangnya RM200,000.

Perasaan bahagia manusia juga berkait dengan nafsu yang tidak pernah puas. Justeru itu, manusia sering kecewa, sedih dan bimbang. Semakin banyak keinginan yang tidak termakbul, semakin tidak bahagialah hidupnya.

Walaupun segala-galanya kini memerlukan wang, namun kebahagiaan yang disandarkan kepada duit semata-mata tidak akan bertahan lama. Kajian Universiti California Riverside di Amerika Syarikat mendapati kenaikan pangkat – pastinya diiringi kenaikan gaji, hanya akan memberi kebahagiaan selama tiga bulan. Selepas itu, perasaan tidak bahagia muncul kerana menginginkan jawatan yang lebih tinggi.

Takut kepada kesedihan, kebimbangan dan tidak tenteram akan mendorong manusia me­lakukan apa yang dia percaya dapat memberikannya kebahagiaan. Akibatnya, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjadi penjenayah asalkan hajat tercapai. Anak yang ketagih dadah tergamak membunuh ibu sendiri untuk mendapatkan wang membeli bahan terlarang itu, lelaki yang kemaruk cinta seorang wanita pula sanggup membunuh asalkan wanita idamannya itu tidak jatuh ke tangan lelaki lain.

Betapa terdesaknya manusia mencari bahagia sehinggakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan Laporan Kebahagiaan Dunia pada setiap tahun sejak 2012. Dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2018 pada Mac lalu, Malaysia menduduki tangga ke-35 iaitu hanya satu tempat di belakang Singapura.

Penulis terkenal Amerika Syarikat, Dale Carnegie mengajarkan cara-cara mengatasi kesedihan agar kita menjalani hidup dengan lebih tenteram. Antara prinsip berkenaan ialah tidak menyakiti orang sebaliknya melakukan kebaikan sesama manusia. Seperti yang dikatakan beliau: “Jika anda tidak mampu menjadi pohon yang besar, jadilah semak. Tetapi jadilah semak yang indah, yang dapat membuat orang senang melihatnya. Jika anda tidak dapat menjadi semak, jadilah rumput sahaja. Tetapi jadilah rumput hijau yang indah sejuk dipandang mata.”

Lebih daripada itu, apa yang dicari sebenarnya adalah ketenangan dan ia akan dapat dicapai selepas melihat orang sekeliling bahagia dan berjaya disebabkan kita. Cuba pejamkan mata dan fikirkan, bilakah kali terakhir kita membuatkan orang lain tersenyum? Bila kali terakhir anda membantu orang lain keluar dari masalah. Bukankah saat itu kita berasa sangat bahagia dan dada terasa lapang?

Konsep kebahagiaan yang diungkapkan Mill dan Carnegie lahir daripada pandangan hidup Barat yang sangat berbeza daripada Islam.

Tokoh ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina sebaliknya mengatakan kebahagiaan dan kesedihan jiwa hakikatnya hanya ada di akhirat. Ibnu Tufail pula berpendapat kebahagiaan adalah pada saat berjumpa dengan Allah dan melihat wajah-Nya di syurga. Itulah yang dikatakan kebahagiaan sejati.