Paling menyedihkan kejadian yang dikatakan akibat salah faham itu antara dua pihak berhubung kemalangan kecil telah menyebabkan seorang bayi perempuan berusia empat bulan kehilangan bapa, isteri kehilangan suami dan ibu kematian anak.

Apatah lagi kes berkenaan berlaku sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha. Selepas ini, isterinyalah yang akan berkorban sepenuh masa menjaga permata hati tatkala sang suami telah berada di alam barzakh. Sebagai ibu, tidak terbayang penulis akan pengorbanan yang perlu ditanggung wanita berkenaan.

Kes ini melibatkan dua individu yang tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara yang seharus­nya diselesaikan mengikut cara orang dewasa, bertenang dan berbincang bukan sebaliknya.

Bagaimanapun bukan tugas kita menghukum berdasarkan laporan yang telah dibuat beberapa pihak. Soal siapa salah, siapa betul, milik siapa kayu besbol atau macam mana perselisihan faham boleh berlaku kita serahkan kepada pihak berkuasa yang menyiasatnya.

Netizen, saksi awam yang ada tolong beri kerjasama membantu pihak polis dan bukannya menjadi ‘batu api’ menyemarakkan lagi masalah yang telah ada atau menimbulkan pertikaian dan pertelingkahan.

Apa yang ingin penulis katakan adalah, jika kita di jalan raya, tolong guna kewarasan. Hati memang panas apabila ada yang tersilap langkah, memotong tanpa lampu isyarat, masuk lorong dengan cara meluru tanpa melihat kiri kanan atau apa sahaja.

Namun kewarasan akal, emosi yang stabil mampu meredakan sebarang insiden sama ada daripada tercetusnya kemalangan sehingga pergaduhan akibat insiden berkenaan.

Marah ialah emosi semula jadi yang bersifat negatif. Marah boleh bermula daripada sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal.

Perasaan marah akan tercetus apabila berlaku gangguan yang berpunca daripada seseorang, sesuatu peristiwa atau kebimbangan dalam hidup.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu laporan akhbar, setiap kes buli jalan raya bermula dengan kesalahan trafik, namun akibat tidak berpuas hati dan mengambil tindakan sendiri maka kesalahan jalan raya boleh bertukar kepada kes jenayah.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri termasuk mence­derakan serta merosakkan kenderaan pihak lain apabila timbul rasa tidak puas hati ketika berada di jalan raya.

“Catatkan nombor pendaftaran , lokasi kejadian dan wajah orang itu (pembuli) dan lapor segera kepada polis, kami akan tangkap dan bawa dia ke muka pengadilan, pandai buat pandailah tanggung,” ujarnya lagi.

Marah sifat normal tetapi perlu dikawal. Sifat yang ada pada setiap orang termasuk penulis.

Peribahasa ada mengatakan berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat yang membawa maksud, berfikir baik-baik dahulu kemudian baru bertindak.