Kemudian, penulis sekali lagi berpeluang mengikuti perkembangan Hafizh apabila menerima jemputan membuat liputan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) di Litar Catalunya, Barcelona pada 2012.

Nyata, aksinya di CEV tidak sia-sia apabila Petronas Raceline Malaysia membuat keputusan untuk menawarkan diri bersaing pada Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kategori Moto2 pada 2014 sebelum meneruskan langkah dengan musim terbaiknya pada 2017 apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas meraih 106 mata.

Pada penghujung musim 2017, ada desas-desus bahawa Hafizh sedang diintai oleh pasukan yang ber­aksi dalam saingan MotoGP yang berminat mendapatkan khidmatnya sebelum segalanya menjadi kenyataan setelah pasukan Tech3 melamarnya untuk bergandingan bersama Johann Zarco pada musim berikutnya.

Musim pertama pada saingan motosikal paling berprestij itu, Hafizh langsung tidak menunjukkan rasa kekok apabila meraih 46 mata untuk menduduki tempat ke-16 keseluruhan daripada 28 pelumba dan hanya ketinggalan empat mata di belakang Franco Morbidelli yang dinobat sebagai pelumba ‘rookie’ terbaik musim berkenaan.

Namun, musim keduanya di MotoGP tahun ini segala-galanya seakan tidak menjadi bermula de­ngan keputusan Tech3 meninggalkan Yamaha.

Sepanjang 11 perlumbaan musim ini, Hafizh sekadar mampu mengutip tiga mata menyebabkan Tech3 membuat keputusan menggugurkannya untuk digantikan oleh Brad Binder.

Situasi Hafizh dikaitkan dengan masalah jentera yang membelenggu apabila dia tidak mampu menyesuaikan diri dengan mesin KTM RC16 yang didakwa mempunyai seribu satu masalah sekali gus memberi kesan kepada persembahan di litar.

Berbaki tujuh pusingan untuk saingan MotoGP musim ini, Hafizh yang sudah pasti akan meninggalkan saingan tersebut musim depan perlu me­rebut peluang terakhir ini bagi membuktikan bahawa ‘petaka’ yang dialaminya musim ini bukan kerana bakatnya yang tidak cukup untuk terus bersaing.

Ketika senarai pelumba untuk saingan MotoGP musim depan hampir lengkap, bermakna peluang Hafizh kekal dengan menyertai pasukan lain juga boleh dianggap sudah berakhir.

Bagaimanapun, kita tetap menaruh harapan untuk melihat ada pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan tampil menyelamatkan karier pelumba paling berbakat negara itu supaya kelibatnya tidak terus hilang atau sekurang-kurangnya mampu beraksi di saingan Moto2 buat seketika sebelum kembali mencari peluang ke perlumbaan MotoGP.

Bantuan dari segi dana atau peluang terutama ketika negara kita juga mempunyai pasukan sendiri iaitu Petronas Sepang Racing Team (SRT) di perlumbaan utama seharusnya diusahakan walaupun ia mungkin berdepan sedikit masalah ekoran beberapa prosedur dan kontrak yang perlu dipatuhi.

Sebagai peminat, ramai yang masih menaruh harapan untuk Hafizh terus kekal berada dalam saingan biarpun bukan di kelas perdana kerana kita percaya dia mempunyai pakej lengkap untuk memberikan saingan kepada pelumba-pelumba dunia yang lain.

Semua pihak perlu memikirkan cara terbaik untuk menyelamatkan karier Hafizh agar bakat dan semangat besarnya tidak ‘dibatunisankan’.

KOSMORAM Oleh MARO