Insiden yang mengejutkan itu terlalu sukar untuk diterima lebih-­lebih lagi semua mangsa yang terkorban di kedua-dua masjid tersebut diperlakukan tanpa sedikit pun rasa belas kasihan dan ia benar-benar berada di luar kewarasan manusia normal.

Persoalannya, mengapakah kejadian seumpama itu boleh terjadi? Apakah yang mendorong si pelaku sehingga sanggup membunuh puluhan manusia yang tidak berdosa tanpa sedikit pun rasa bersalah? Siapakah yang menghasut si pelaku berkenaan sehingga tergamak melakukan keganasan sedemikian rupa?

Mungkin, kejadian itu berlaku kerana kecelaruan minda si pengganas terbabit atau dia sebenarnya telah ditanam de­ngan maklumat-maklumat yang salah serta disemat dengan pe­rasaan benci yang meluap-luap terhadap mangsa-mangsanya sehingga dia sanggup bertindak di luar batasan fitrah manusia.

Sebenarnya, kalau kita tidak berhati-hati, kejadian seum­pama itu juga boleh berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini satu hari nanti jika perkara-perkara yang sensitif dalam masyarakat terutamanya membabitkan soal-soal sensitiviti keagamaan atau hubungan antara kaum diambil mudah oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk itu, sebarang bentuk aktiviti atau perbuatan yang menjurus kepada budaya kebencian membabitkan aspek keagamaan mahupun hubungan antara kaum harus dibendung dengan bersungguh-sungguh supaya bibit-bibit kebencian itu dapat disekat daripada awal dan tidak melekat erat dalam diri setiap masyarakat.

Pihak-pihak tertentu tidak kiralah sama ada mereka terdiri daripada pemimpin parti politik, badan-badan bukan kerajaan atau pihak-pihak yang berkepentingan dalam menjaga hal ehwal agama supaya lebih sensitif dan tidak memandai-mandai atau cuba bermain api dengan mempersenda sesuatu kaum atau agama lain kerana dibimbangi boleh mencetuskan ‘barah’ yang kemudiannya memungkinkan kepada tercetus­nya perkara-perkara yang tidak diingini.

Perkara-perkara yang menyentuh kepentingan atau hak sesuatu kaum atau agama seharusnya tidak disentuh sama sekali terutamanya dalam kalangan mereka yang ‘bermain’ dengan politik kononnya untuk ‘tiket’ bagi meraih soko­ngan atau populariti.

Hal ini kerana, sebarang tindakan ke arah itu sebenarnya boleh mencetuskan kemarahan pihak-pihak yang terlibat. Mungkin mereka tidak bertindak pada ketika ini, namun jika kemarahan itu disimpan sedikit demi sedikit, lama-kelamaan ia pasti akan ‘meletup’ jua.

Pada ketika itu, kebarangkalian untuk tercetusnya perkara-perkara yang tidak terduga mungkin sukar untuk dibendung lagi.

Untuk itu, pihak-pihak yang diangkat sebagai pemimpin masyarakat perlu benar-benar memahami situasi ini dan tidak bertindak secara membuta-tuli tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat umum yang le­bih besar semata-mata untuk memenuhi kehendak atau keperluan sesuatu golongan semata-mata.

Ketika ini, kalau kita perhatikan, sudah ada pihak-pihak tertentu yang dilihat sudah berani mencetuskan suasana yang kurang harmoni khusus­nya membabitkan aspek agama atau kepentingan sesuatu kaum di negara ini.

Jadi perkara ini harus disekat dari awal supaya bibit-bibit kebencian tidak tersemai dalam masyarakat dan ia tidak menjadi ‘barah’ yang pastinya lebih sukar untuk dirawat apabila sudah menjadi semakin teruk.

Apabila keadaan sudah menjadi semakin teruk, keganasan mungkin akan dilakukan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang akan bertindak atas tiket untuk memperjuangkan hak-hak mereka dan jika itu terjadi, pada waktu itu sudah pasti kehidupan dalam masyarakat kita mungkin sudah tidak menjadi harmoni lagi.

Oleh itu, sebagai rakyat yang mampu berfikir dengan baik, semua pihak seharusnya tidak terikut-ikut dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mungkin cuba membuat sebarang provokasi kerana pastinya akan menimbulkan suasana tegang yang akhirnya seluruh masyarakat akan hidup dalam keadaan tidak tenteram dan penuh dengan ketakutan.