Sementelah tidak ramai yang mampu untuk membayar mahal, maka ramai yang mengidam untuk dirawat dengan lebih selesa di fasiliti swasta terutama apabila terpaksa menunggu lama di hospital kerajaan.

Penulis juga beranggapan sama sebelum ini sehinggalah kira-kira tiga bulan lalu ketika mendapatkan rawatan di sebuah fasiliti kerajaan untuk melahirkan anak kedua. Sebuah hospital baharu di Kuala Krai, Kelantan.

Perbezaan ketika melahirkan anak sulung di sebuah fasiliti swasta tiga tahun lalu adalah layanan dan wad sahaja. Sakit bersalin tetap sama tetapi apa yang membuat penulis kagum ialah kemudahan yang disediakan di Hospital Kuala Krai.

Mungkin kerana ia bangunan baharu, jadi semua kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik termasuk bilik bersalin yang dilengkapi dengan peralatan canggih. Malah, kakitangannya juga cekap dan sangat profesional ketika melayan kerenah penulis yang agak emosi sewaktu menahan kesakitan.

Wad kelas tiga yang sempat dihuni penulis kira-kira setengah hari selepas bersalin juga tidak mengecewakan biarpun tidak tinggal di bilik khas tetapi ruang yang diberikan cukup luas serta selesa.

Tiada ahli keluarga dibenarkan menunggu selain ketika waktu melawat tetapi kakita­ngan wad tersebut sangat ringan tulang menyebabkan penulis yang masih lemah selepas proses bersalin tidak rasa begitu sukar.

Lebih menarik, caj yang dikenakan hanya RM30 untuk kos keseluruhan rawatan termasuk bayaran bilik bersalin, rawatan, wad, konsultasi serta ubat. Ketika melahirkan anak sulung, caj yang dikenakan adalah kira-kira RM6,000 bagi proses bersalin normal. Alhamdulillah semua kos ditanggung pihak syarikat.

Begitupun, ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Ampang hujung minggu lalu, penulis terpaksa ‘berkampung’ lima jam kerana anak demam. Sepatutnya bayi penulis perlu ditahan di wad untuk pemantauan tetapi ekoran kepadatan pesakit di wad paediatrik menyebabkan doktor membenarkan penulis memantaunya di rumah.

Mulanya agak gusar tetapi apabila doktor kanak-kanak sendiri sanggup turun dari wad memeriksa keadaan anak serta memberikan penjelasan terperinci menyebabkan penulis pulang tanpa rasa terlalu bimbang. Pihak hospital turut membekalkan ubat demam untuk anak dengan tiada apa-apa bayaran.

Biarpun berpuas hati dengan layanan yang diterima termasuk kakitangan yang masih mampu tersenyum melayan kunjungan pesakit yang tidak henti-henti, namun penulis berharap agar kerajaan dapat menambah lagi kemudahan di kawasan berkepadatan tinggi.

Kemudahan perubatan termasuk pembinaan hospital-hospital awam baharu di kawasan padat seperti di Kuala Lumpur serta bandar-bandar besar lain perlu dilakukan supaya lebih ramai rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati servis kesihatan lebih selesa.