Lelaki berusia 31 tahun dan digelar sebagai ‘abang botak’ itu dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dan mengakibatkan kerugian bernilai lebih RM25.

Ramai yang menganggap hukuman ke atas ‘abang botak’ ini tidak adil dan membandingkannya dengan kes seorang lelaki berbangsa Cina yang menumbuk dan meludah seorang pemandu bas di Pulau Pinang dan hanya dikenakan hukuman denda RM1,000.

Sebagai rakyat yang tidak arif tentang prosedur perundangan, kita seharusnya tidak mudah melatah apabila sesuatu keputusan mahkamah itu dilihat agak ‘luar biasa’ dan nampak seperti ‘tidak adil’.

Skop dalam perundangan adalah amat luas dan perlu diteliti mengikut elemen-elemen yang dilihat berkait rapat dengan kesalahan atau perbuatan melanggar peraturan yang dilakukan oleh seseorang pesalah.

Kalau mengikut hati penulis, hukuman yang dikenakan ke atas ‘abang botak’ ini memang kelihatan tidak adil dan berat sebelah, namun mahkamah pasti ada alasan dan sebab tersendiri untuk menjatuhkan hukuman berkenaan.

Jangan cepat membuat sebarang kesimpulan mengenai setiap hukuman yang diberikan kerana undang-undang sebenarnya lebih bersifat praktikal.

Berdasarkan pemahaman penulis terhadap pandangan seorang peguam yang dikenali sebagai Nor Zabetha dalam laman media sosialnya, hukuman penjara satu tahun ke atas ‘abang botak’ adalah berbeza dengan hukuman denda ke atas lelaki yang menumbuk pemandu bas di Pulau Pinang itu kerana ia melibatkan dua kelakuan dan elemen jenayah berlainan.

Dalam setiap kes jenayah, siasatan atau dakwaan terhadap seseorang suspek akan dibuat mengikut seksyen yang dipecahkan kepada kelakuan jenayah itu sendiri seperti contoh seksyen rogol untuk kes rogol atau seksyen curi untuk kes mencuri.

Jadi, dalam kes ‘abang botak’ ini, dia dituduh mengikut seksyen jenayah kerana wujudnya elemen jenayah sama seperti kes lelaki berbangsa Cina berkenaan, namun pecahan-pecahan di bawah elemen jenayah tersebut yang membezakannya.

Elemen jenayah tersebut kemudian akan menjadi penentu sama ada tertuduh betul-betul berniat melakukan jenayah atau tanpa sengaja melakukannya atau dia dipaksa oleh seseorang melakukannya.

Elemen-elemen inilah yang akan membantu pendakwa raya ‘mengkategorikan’ sek­syen undang-undang yang setimpal dikenakan ke atasnya dan memudahkan hakim menjatuhkan hukuman.

Jadi, dalam kes ‘abang botak’ dan lelaki Cina terbabit, kertas siasatan telah dijalankan secara berbeza kerana elemen perbuatan memukul dan meludah adalah di bawah kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan tanpa senjata atau peralatan lain.

Elemen jenayah ‘abang botak’ pula di bawah Seksyen 427 iaitu melakukan khianat ke atas harta benda yang menyebabkan kerugian bernilai lebih RM25 kerana dia langsung tidak menyentuh pemandu kereta itu, sekali gus menyebabkan dia tidak boleh didakwa di bawah Seksyen 323.

Hukuman bagi Seksyen 427 adalah minimum penjara satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda, manakala dalam kes lelaki menumbuk pemandu bas pula, hukuman bagi Seksyen 323 pula adalah penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penulis tidak pasti sama ada hukuman tersebut setimpal atau tidak dengan tindakannya, namun apa yang pasti ialah insiden ini adalah satu pengajaran kepada kita semua supaya jangan mengambil tindakan secara melulu dan mengikut amarah hati.