Esok dan lusa mungkin ramai pula yang sibuk berkunjung ke rumah-rumah terbuka. Almaklum, kita sebulan berpuasa dan lazimnya sebulan juga kita berhari raya. Malah, ada yang terlajak berhari raya sampai ke bulan Zulkaedah.

Tidak mengapa jika tujuannya untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim sesama kita. Asalkan jangan membazir sehingga lupa kepada banyak lagi golongan yang kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan dan pertolongan kita.

Penulis hari ini tidak mahu mengulas panjang mengenai sambutan hari raya tetapi ingin menyentuh mengenai sikap pemandu kita yang didapati masih berada pada takuk lama.

Jika kita meneliti perkembangan prasarana jalan-jalan raya dan lebuh raya di negara ini, dari semasa ke semasa pihak-pihak berkaitan sentiasa berusaha mempertingkat kemudahan yang ada. Daripada dua lorong kepada tiga, malah ada sesetengah kawasan sehingga empat lorong.

Semua itu dilakukan bagi menambah keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna meskipun masih tidak mampu menampung bilangan kenderaan ketika musim-musim perayaan apabila berjuta kenderaan bergerak serentak keluar dari ibu kota atau masuk semula ke ibu kota.

Pada pemerhatian penulis, baik ketika menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur atau Lebuh Raya Utara-Selatan, masih ba­nyak pemandu yang tidak tahu menggunakan lorong di lebuh raya. Mengikut peraturan, lorong kiri adalah bagi kenderaan bergerak perlahan, lorong kanan pula untuk kenderaan yang memotong. Bagi kawasan yang mempunyai tiga lorong pula, peraturan tetap sama, kiri sekali untuk kenderaan perlahan, tengah pada had laju biasa dan paling kanan untuk memotong.

Malangnya, peraturan itu telah ‘ditukar’ oleh pemandu kita. Mereka menjadikan lorong tengah untuk ‘bersantai’ iaitu memandu pada kelajuan sekitar 80-90 kilometer sejam (kmj). Keadaan itu menyebabkan kesukaran kepada kenderaan yang bergerak pada kelajuan biasa 100-110kmj kerana pergerakan mereka terhalang dek kenderaan perlahan. Mahu beralih ke lorong paling kanan pula agak sukar kerana dikuasai oleh kenderaan ‘super laju’ yang gemar menggunakan isyarat lampu tinggi kepada yang dianggap menghalang.

Kepada kenderaan ‘super laju’ yang lagak seperti raja di le­buh raya, kita tidaklah mahu membuat andaian buruk. Mereka ini mungkin pemilik kereta baharu, jadi itulah peluang untuk mencuba selaju mana jentera tersebut mampu memecut, waima sebuah Perodua Axia yang kelihatan seperti lipas kudung.

Apa yang menjadi masalah dan sukar untuk dijelaskan ialah pemandu yang berasakan lorong tengah atau sesekali lorong kanan sebagai hak milik mereka. Mereka ini seolah-olah gemar menjadi ‘kepala kereta api’ dan sengaja membiarkan kereta lain mengekor panjang di belakang.

Penulis memerhatikan sebilangan pemandu lain mengambil langkah beralih ke lorong paling kiri sebagai alternatif untuk memotong kenderaan perlahan di lorong tengah. Jika memotong di lorong kanan, takut digasak raja lebuh raya yang seperti mengalami masalah sistem brek, atau silap-silap hari bulan terkantoi pula dengan abang polis yang menunggu dengan kamera perangkap had laju.

Penulis tidak tahu, sampai bila senario memandu perlahan di lorong tengah ini akan berterusan. Jika pihak berkuasa susah sangat untuk mengubah sikap pemandu kita, elok juga ditukar peraturan jalan raya iaitu lorong tengah untuk kenderaan perlahan, lorong kanan untuk memotong melebihi had laju dan kiri memotong mengikut had laju.

Rasanya mewartakan peraturan baharu jalan raya lebih mudah daripada menukar sikap pemandu kita. Itu belum lagi membicarakan isu-isu lain seperti penggunaan tali pinggang keledar, lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit.

Cuma penulis berharap kita semua sedar bahawa walau apa pun kenderaan yang dinaiki, apa pun jenama kenderaan yang dipandu dan siapa pun kita, jalan raya adalah untuk dikongsi bersama. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.