Sehinggakan ramai yang tertanya-­tanya, apakah dosa yang dilakukan oleh wanita malang itu sehingga zuriat yang dikandung sendiri tergamak me­lakukan perbuatan ‘dosa besar’ itu ke atas dirinya.

Pastinya ia merupakan satu kejadian yang tragis yang menyayat hati dan sukar untuk diterima oleh sesiapa pun jua yang mempunyai akal pemikiran yang waras.

Apa pun perasaan kita sekarang, itu lah hakikat yang sebenarnya telah terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Apabila penyakit melibatkan hati mula bersarang di dalam tubuh dan apabila nafsu menguasai akal, maka terjadilah perkara-perkara yang selama ini kita anggap sebagai mustahil untuk berlaku.

Sebenarnya, kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Burung itu merupakan hanya salah satu daripada berpuluh-puluh dan mungkin beratus atau beribu kes jenayah yang berpunca daripada kegagalan diri seseorang me­ngawal nafsu sehingga mendorong seseorang bertindak di luar batasan kemanusiaan termasuk sanggup membunuh atau mencederakan insan-insan yang dekat dengan mereka.

Apakah sebenarnya punca yang mendorong seseorang sehingga sanggup melakukan perbuatan jenayah terhadap kaum keluarga mereka sendiri?

Secara umumnya, terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan kepada berlakunya permasalahan itu, namun dalam kebanyakan kes, kejadian jenayah seperti itu sebenarnya berpunca atau boleh dikaitkan dengan masalah penyalahgunaan dadah yang telah banyak membawa ke­rosakan kepada anak-anak muda kita di seluruh negara.

Jika kita teliti semula kes-kes yang berlaku sebelum ini, sebahagian besarnya adalah berpunca daripada masalah pe­nyalahgunaan dadah yang telah merosakkan akal pemikiran waras seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja jika permintaan mereka tidak tertunai atau dipenuhi.

Lebih malang, masalah pe­nyalahgunaan dadah ini bukan sahaja telah merosakkan ramai dalam kalangan generasi muda kita sejak sekian lama, malah ia turut memberi kesan buruk kepada masyarakat secara kesuluruhannya melalui pelbagai bentuk gejala sosial yang berlaku akibat daripada salah guna dadah tersebut.

Peliknya, walaupun pihak berkuasa boleh dikatakan secara terus-terusan telah menggempur sarang najis dadah, namun sehingga kini masalah tersebut bagaikan tiada penghujungnya dan pelbagai jenis dadah haram itu seolah-olah boleh didapati dengan mudah oleh para penagih walaupun kononnya ia sentiasa digempur pihak berkuasa.

Kita sedar, pihak berkuasa memang sentiasa memandang serius mengenai masalah ini dan telah berusaha sebaik mungkin untuk menyekat dan mencegah masalah penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negara ini, namun pihak-pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah nampak­nya lebih licik dalam hal ini.

Buktinya, masalah penyalahgunaan dadah di negara kita masih berlaku sehingga kini.

Aktiviti penagihan dadah ini bukan sahaja melibatkan anak-anak muda kita yang tinggal di bandar-bandar, malah anak-anak muda duduk di ceruk kampung juga tidak terlepas daripada gejala ini.

Apa-apa pun, kita berharap, pihak berkuasa tidak berputus asa dalam menangani gejala dadah ini dan berusaha bermati-matian untuk membendung masalah ini demi masa depan anak bangsa kita ke arah yang lebih baik.

Cuma, kita amat berharap agar tidak ada pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengagalkan tindakan tegas yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Kepada ibu bapa pula, mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya menjauhi perkara-perkara yang dilarang.

Bagi anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibu bapa hendaklah memantapkan akidah mereka dengan pegangan ajaran agama yang jitu agar tidak muda terpengaruh dengan perbuatan-perbuatan yang menyeleweng yang boleh membawa kemudaratan kepada mereka kelak.

Sudah tentu, semua ini boleh dicapai melalui pendidikan agama yang sempurna dan tanggungjawab itu tidak seharusnya di­serahkan kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya ibu bapa juga seharusnya memainkan pe­ranan yang besar dalam mendidik anak-anak mereka di rumah.