Untuk rekod, FPP adalah skim rawatan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2007 di hospital-hospital kerajaan yang terpilih di seluruh negara. Sehingga kini, ia melibatkan 42 hospital kerajaan.

Melalui skim ini, pesakit terutamanya ibu-ibu me­ngandung boleh mendapat rawatan daripada pakar dan kemudahan bertaraf swasta pada harga yang sangat berpatutan.

Walaupun telah agak lama diperkenalkan, namun mungkin ramai yang belum mengetahui dengan mendalam tentang skim rawatan FPP ini.

Memandangkan kali pertama menggunakan skim ini bagi urusan kelahiran bayi, penulis agak teruja dengan tawaran yang disediakan oleh pihak pengurusan hospital.

Secara umumnya, penulis berpuas hati dengan la­yanan yang diberikan oleh kakitangan hospital apabila mereka mengetahui kita menggunakan skim FPP dan segala urusan berjalan lancar termasuk kemasukan ke wad.

Cuma, ada beberapa perkara penting yang dilihat masih kurang diberi perhatian oleh pihak pengurusan hospital berhubung kemudahan pesakit yang menggunakan skim FPP seolah-olah ia adalah perkara remeh. Bagi pesakit dan keluarga, ia perlu diberikan perhatian serius.

Perkara paling penting yang harus diberikan keutamaan adalah mempercepatkan pemulangan duit baki kepada pesakit ketika membuat bayaran untuk keluar wad.

Ini penting kerana ketika pendaftaran, setiap pesakit yang menggunakan skim FPP perlu menjelaskan bayaran pendahuluan (deposit) sebanyak RM3,000 dan ini adalah satu jumlah yang agak besar bagi sesetengah orang.

Penulis mengalami sendiri betapa sukarnya untuk mendapatkan kembali wang baki tersebut. Ketika membuat bayaran untuk keluar wad, penulis dimaklumkan pihak hospital tidak dapat memulangkan wang baki serta-merta kerana kekurangan dana.

Apa yang memeranjatkan, kakitangan di kaunter tersebut meminta penulis menghubungi pihak hospital setiap hari untuk memastikan dana mencukupi untuk proses bayaran balik.

Bagi penulis, ini adalah tidak profesional kerana sepatutnya pihak hospital yang menghubungi pesa­kit. Janganlah menyusahkan hidup orang lain.

Jika begini keadaannya, adalah lebih baik bayaran deposit dikurangkan separuh dan selebihnya pesakit membayar jika tidak cukup apabila ingin ke luar dari wad.

Perlu diingatkan, pesakit ada banyak kerja lain daripada berulang-alik ke hospital semata-mata ingin mendapatkan semula wang baki, seolah-olah meminta sedekah.

Lagipun, nak ke hospital bukan senang, mana nak fikir tempat letak kereta yang penuh sepanjang masa. Silap hari bulan, kena saman dengan polis trafik jika meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Sepatutnya, pihak hospital sentiasa menyediakan dana yang mencukupi pada setiap masa bagi mengelakkan perkara ini terus berlarutan dan tidak lagi menyusahkan pesakit yang sememangnya baru pulih daripada kesakitan dialami.