Penulis pasti, pada hari ini, ada yang sudah pulang awal ke kampung halaman masing-masing memandangkan cuti persekolahan sudahpun bermula pada Jumaat lalu bagi nege­ri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, manakala negeri-negeri lain bermula pada Sabtu lalu.

Disebabkan cuti sekolah pada kali ini agak panjang, iaitu selama dua minggu, ada dalam kalangan ibu bapa yang bertindak menghantar anak-anak mereka pulang ke kampung lebih awal.

Bagi suami isteri yang bekerja sebagai guru, sudah pasti cuti sempena Aidilfitri kali ini begitu menyeronokkan bagi mereka kerana dapat bercuti lebih panjang.

Lebih melegakan apabila mereka juga tidak perlu bersesak-sesak di jalan raya seperti kebiasaannya kerana sebahagian besar warga kota khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town masih lagi perlu bekerja, sekurang-kurangnya untuk beberapa hari lagi pada minggu ini.

Bagaimanapun, penulis tidak bercadang untuk bercerita tentang cuti hari raya yang sudah bermula bagi sesetengah golongan pekerja.

Apa yang lebih menarik perhatian penulis untuk berkongsi pada kali ini ialah penggiliran pulang berhari raya yang sememangnya menjadi isu atau keutamaan dalam kalangan pasangan yang sudah berkahwin.

Bagi pasangan yang sudah lama melayari bahtera perkahwinan, penulis yakin perkara tersebut tidak akan menjadi isu besar memandangkan masing-masing sudah memahami berdasarkan sistem penggiliran yang sudah dipersetujui sejak sekian lama.

Namun, bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan baru pertama kali berhadapan dengan situasi ini, sudah pastu akan wujud dilema dalam memilih destinasi mana yang harus dituju terlebih dahulu.

Bagi si isteri, sudah pasti mereka akan menggunakan kelembutan yang ada untuk memujuk sang suami untuk pulang berhari raya di rumah ibu bapanya.

Bagi sang suami yang mempunyai ‘kuasa’ yang lebih dalam rumah tangga, perkara itu juga menjadi taruhan untuk membuat keputusan agar hari raya pertama pada Aidilfitri kali ini diraikan di kampung halamannya.

Jika situasi tersebut berlarutan dengan sang suami dan si isteri bertegas dengan keputusan masing-masing, tidak mustahil hal yang sekecil itu boleh mendatangkan perbalahan yang besar dalam rumah tangga.

Di sinilah kebijaksana­an sang suami dituntut dalam menyelesaikan isu yang timbul. Berbincanglah dan bertolak ansurlah dalam membuat keputusan.

Jika perlu, cari di mana titik pertemuan dalam tuntutan tersebut. Dahulukan perkara yang lebih penting. Mungkin jika di sebelah si isteri akan berlangsungnya majlis-majlis tertentu yang dirasakan perlu dihadiri, pulanglah dahulu ke rumah ibu bapanya dan begitulah sebaliknya.

Jadikan amalah bertolak ansur dan berbincang sebagai satu solusi yang paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai isu, permasalahan lain yang timbul dalam mengharungi bahtera berkeluarga.