Keputusan tersebut ternyata membuatkan berbilion-bilion masyarakat dunia bangkit bersuara. 

Trump memecahkan dasar luar sedia ada AS malah mengambil pendekatan berbeza berban­ding presiden-presiden sebelumnya membabitkan kedudukan Baitulmuqaddis. 

Bagi umat Islam, pengiktirafan tersebut te­lah melanggar ‘garisan merah’ memandangkan Baitulmuqaddis atau Al-Quds merupakan jantung hati mereka. Ia menggambarkan satu tindakan melengkapkan kependudukan rejim Zionis ke atas bumi Palestin. 

Malah pengiktirafan itu sendiri sebenarnya mematikan penyelesaian isu dua negara yang dicanang oleh dunia Barat. Orang Arab sejak dahulu tidak mengiktiraf penyelesaian itu. AS gagal menjadi pengantara untuk proses damai sebaliknya menjadi perkakas kepada penindas. 

Malaysia membantah sekeras-kerasnya tindakan AS itu. Wisma Putra menegaskan, percubaan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel mewujudkan atau memindahkan perwakilan diplomatik ke bandar itu dianggap pencerobohan bukan sahaja terhadap Arab dan umat Islam malah melanggar hak umat Islam serta penganut Kristian.

Ia juga melanggar hak kewarganegaraan penduduk Palestin termasuk hak mereka untuk menentukan sendiri masa depan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel sebenarnya satu pengisytiharan perang di Asia Barat. 

Umat Islam termasuk masyarakat Kristian tidak pernah menerima langkah meletakkan kota suci itu sepenuhnya berada di bawah hegemoni rejim Zionis.

Perkembangan terkini itu dipercayai berpunca daripada kegagalan plot AS dan Israel untuk memotong jalur perlawanan bagi membantu Palestin terutamanya melalui laluan Syria dan Lebanon. 

Kekalahan Daesh dan ISIS yang dicipta kuasa besar itu di Syria dan Iraq memberikan tamparan kepada mereka. 

Kegagalan itu  menyebabkan Israel mengambil tindakan terdesak untuk melakukan serangan udara ke atas Syria beberapa hari lalu.

Mungkinkah rejim Zionis itu sendiri mahu memicu konflik lebih luas dengan mengambil kesempatan daripada persaingan geopolitik membabitkan negara-negara Asia Barat.

Tindakan terbaharu AS itu mungkin menyebabkan tercetusnya intifadah (kebangkitan) dalam skala yang lebih besar. 

Sebelum ini dalam peperangan yang dicetuskan sendiri oleh Israel pada sedekad lalu, rejim itu tidak pernah mencapai matlamatnya terma­suk di Gaza, Palestin dan Lebanon. Kita yakin jalan pembebasan menuju ke Baitulmuqaddis kini sedang dalam pembikinan.