Kita mudah untuk memperoleh maklumat atau informasi dan mengetahui perkembangan semasa negara mahupun dunia

Namun, sejak kebelakangan ini, kemajuan teknologi itu dilihat memberi lebih banyak kesan negatif terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Rata-rata pengguna media sosial semakin ‘bia­dab’ ketika menulis komen.

Adakalanya, nada dan penyampaian mesej dalam paparan media sosial mereka kian berani dan boleh dianggap berniat jahat.

Mereka berani mengeluarkan mesej-mesej berbaur perkauman, menghina individu atau agama lain yang seolah-olah menggambarkan bahawa mereka tidak takut untuk melanggar peraturan agama serta undang-undang negara.

Apakah mereka sedar bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh memberi kesan yang cukup dahsyat kepada pihak yang dikomen?

Biarpun banyak peringatan dan amaran yang diberikan oleh pihak berkuasa agar kita lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang paparan, masih ada segelintir pengguna media sosial yang tidak ambil peduli.

Ketika kita memiliki teknologi-teknologi yang canggih, masih ada lagi kumpulan manusia yang mahu mencari padah dan menguji kesabaran pihak tertentu.

Kesabaran ada hadnya. Jangan sesekali melakukan provokasi melampau seperti dalam beberapa kes yang dipaparkan media sebelum ini.

Apabila sudah ‘disergah’, pelbagai alasan diberikan untuk menutup kesilapan itu.

Alasan kononnya akaun media sosial mereka digodam dan mereka tidak berniat untuk melakukan provokasi tidak boleh diterima lagi.

Alasan-alasan yang diberikan itu adakalanya tidak logik.

Jangan disebabkan oleh perbuatan segelintir pengguna media sosial yang tidak beretika, keharmonian dan kesejahteraan negara musnah begitu sahaja.

Mudah-mudahan tindakan tegas yang dikenakan akan memberi pengajaran berguna kepada semua pengguna media sosial untuk berpada-pada ketika memuat naik paparan.

Paling penting, kawal emosi dan jari-jemari kita. Jangan ikut suka hati untuk memuat naik sesuatu mesej tanpa memikirkan akibatnya terlebih dulu.

Ingatlah bahawa apa yang kita muat naik dalam internet akan kekal buat selama-lamanya dan ia boleh kembali menghantui kita pada masa hadapan.

Terdapat banyak kepentingan berbudi bahasa dalam masyarakat iaitu dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum, warna kulit mahupun agama.

Bukan itu sahaja, amalan berbudi bahasa ini akan mendidik masyarakat yang berlainan kaum dan agama supaya sentiasa menjaga sensitiviti serta perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau perlakuan.

Amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun. Melalui kajian konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah.