Jika tahun-tahun sebelum ini, sebelum tibanya Ramadan, topik utama warga Malaysia ketika itu sudah tentu berkaitan persiapan untuk berpuasa diikuti kepada persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Memeriahkan lagi menjelang bulan puasa apabila pusat beli-belah berlumba-lumba menawarkan pelbagai promosi bagi menyambut kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, pada tahun ini, agak berlainan apabila seluruh rakyat Malaysia dilihat masih terlalu sibuk untuk berbincang mengenai pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berbanding bercakap mengenai topik bulan Ramadan dan hari raya.

Masing-masing dilihat tidak mahu ketinggalan untuk mengikuti suasana politik yang semakin menarik. Tidak sekadar menjadi ‘penonton’ sudah ramai juga rakyat kini tampil dengan pelbagai reaksi, pendapat dan andaian berhubung pembentukan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Kisah parti gabungan PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang sudah bertakhta lebih 60 tahun amat menakjubkan.

Antara tarikan utama pasca PRU-14 adalah tumpuan terhadap aura Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Rakyat dilihat sangat teruja apabila bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu mampu kembali berkuasa pada usia 92 tahun.

Dr. Mahathir kini diangkat sebagai penyelamat Malaysia. Ketegasan Dr. Mahathir masih terserlah apabila pada minggu pertama bergelar Perdana Menteri, beliau telah mengambil beberapa tindakan drastik bagi membetulkan semula pentadbiran negara.

Antara tindakan tersebut ialah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali agar bercuti berkuat kuasa serta-merta, memendekkan kontrak Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah dan menerima peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Turut menerima tempias ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Dalam masa sama, Perdana Menteri itu turut mengadakan pertemuan dengan beberapa individu penting yang mengetahui perihal skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB). Mereka ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram; bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit, Datuk Abdul Bador.

Sebelum itu, Dr. Mahathir juga telah mengadakan pertemuan dengan tiga bekas pegawai kanan SPRM yang sudah menamatkan kontrak, bersara dan berhenti.

Tindakan pantas ke atas tokoh-tokoh besar tersebut dan mengadakan pertemuan itu mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB. Perdana Menteri semakin yakin mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB akan didakwa di mahkamah.

Serentak tindakan itu, kelmarin Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa laporan audit negara terhadap 1MDB yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai rahsia pada 22 Januari 2015 kini boleh dibaca oleh orang ramai menerusi laman web.

Perkembangan isu 1MDB merupakan salah satu lagi manifesto dalam kerajaan PH. Ahli-ahli parti berkenaan semasa berkempen pada PRU-14 pernah memberi jaminan kepada rakyat bahawa skandal 1MDB akan disiasat.

Selain isu 1MDB, kandungan lain manifesto kerajaan PH yang menarik perhatian rakyat kini ialah berhubung pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menghapuskan tol, menstabilkan harga minyak dan memberi pendidikan percuma.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan PH terlebih dahulu perlu membentuk barisan Kabinet yang kukuh dan bersefahaman. Sejak diberi mandat sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir telah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai lima ahli. Seorang anggota majlis iaitu bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sekali lagi memberi jaminan GST akan dimansuhkan dalam tempoh 100 hari selepas PH berkuasa.

Justeru bagi mencapai matlamat tersebut, pemimpin parti gabungan di bawah PH harus kental mempertahankan keharmonian dalam gabungan tersebut. Mandat yang diberikan rakyat kepada PH tidak harus berkecamuk hanya kerana perbezaan parti yang berada di bawah PH.

Begitu juga dengan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara seharusnya menguatkan lagi kerajaan PH. Kita berharap kerajaan PH mampu mencorak Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding sebelum ini.