Kejayaan tersebut dilihat seolah-olah mampu menjadi momentum dan pemangkin Malaysia untuk mencapai kejayaan memberangsangkan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia April lalu.

Bagaimanapun, pencapaian pada Sukan Komanwel tidak seindah khabar yang dicanang-canangkan apabila hanya meraih tujuh pingat emas atau cukup-cukup makan.

Apa tidaknya, sasaran sepatutnya meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 negara terbaik tersasar dari landasan apabila menduduki tangga ke-12 pada senarai carta kedudukan pingat.

Segelintir atlet yang gagal mencapai sasaran pula mendedahkan bahawa Sukan Komanwel hanya sebagai pemanas badan sebelum benar-benar berjuang pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Indonesia Ogos lepas.

Pada awalnya mungkin peminat-peminat sukan negara boleh menerima alasan tersebut, namun apa yang berlaku adalah skrip sama cuma lokasi berbeza.

Malaysia hanya berjaya meraih tujuh pingat emas dan berada di kedudukan ke-14 dalam carta pungutan pingat. Apa sudah jadi?

Ia menunjukkan pencapaian Malaysia pada kejohanan mahupun temasya sukan bertaraf antarabangsa masih ketinggalan jauh di belakang.

Memang tidak dinafikan, terdapat beberapa atlet Malaysia sudah bergelar jaguh dunia, namun ia belum cukup memandangkan jutaan ringgit sudah dilaburkan dan pastinya peruntukan itu datangnya daripada duit rakyat.

Tahun depan akan berlangsung Sukan SEA 2019, kali ini di Manila, Filipina. Apakah Malaysia mampu mengulangi kehebatan sebagai jaguh rantau Asia Tenggara sekali lagi.

Pada penulis, Sukan SEA 2019 itu boleh dikatakan pentas awal bagi menguji atlet negara yang terpilih untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Malaysia tidak pernah berputus asa untuk mencapai impian menggenggam emas Sukan Olimpik yang sememangnya didambakan selama ini.

Justeru, kerajaan sekali lagi memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi membantu atlet merealisasikan emas pertama negara di pentas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Sebaik sahaja diumumkan peruntukan tersebut, seluruh warga sukan negara pastinya tersenyum gembira menyambut baik bajet sebesar itu.

Bagaimanapun, penulis mahu mengingatkan bahawa peruntukan sebesar itu diharap bukan sekadar peruntukan seperti diumumkan pada tahun-tahun sebelum ini yang pada akhirnya menghampakan rakyat.

Seharusnya tiada lagi ayat-ayat klise bahawa peruntukan itu akan menyuntik semangat atau sebagainya, namun masa untuk bekerja keras mencapai impian besar Malaysia.

Bukan hanya berasa teruja apabila memperoleh peruntukan tetapi setiap kepimpinan sukan juga harus ada rasa bertanggungjawab jika gagal mencapai sasaran pada Sukan Olimpik nanti.

Biarlah peruntukan kali ini benar-benar menjadi inspirasi untuk para atlet memburu emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.