Dia yang berumur 34 tahun telah berkelana di jalanan sejak 18 bulan lalu tanpa rumah dan cuma bergantung kepada belas ihsan untuk makan minum sehari-hari tanpa sebarang matlamat hidup.

Bagaimanapun tanpa disangka, gerak hati untuk membantu seorang pemandu wanita yang keretanya tersadai di tepi lebuh raya akibat kehabisan petrol akhirnya mengubah kehidupannya.

Wanita tersebut, Kate McClure, 27, ketika itu berdepan saat mencemaskan apabila enjin keretanya mati bukan sahaja di kawasan sunyi tetapi juga pada waktu larut malam.

Bobbitt yang kebetulan berada berdekatan dengan kereta wanita itu kemudian menawarkan bantuan untuk membeli petrol di stesen minyak berdekatan.

Ketika itu di dalam poketnya hanya ada wang sebanyak AS$20 (RM81) dan itulah wang terakhir yang dimiliki untuk mengisi perut bagi meneruskan kehidupannya.

“Tolong kunci pintu kereta dan tunggu di sini sementara saya mendapatkan petrol,” kata Bobbitt yang khuatir akan keselamatan wanita tersebut.

McClure pula menjelaskan kepada Bobbitt bahawa dia langsung tidak mempunyai wang untuk membayar harga petrol itu kerana kebetulan tidak membawa wang pada malam tersebut.

Sejak peristiwa itu, McClure yang begitu terkesan dengan keikhlasan seorang pengemis jalanan kembali mencari dan mengunjungi lelaki tersebut sama ada bagi memberikannya wang, pakaian dan makanan.

Tidak cukup itu, McClure yang mula mencungkil sejarah hidup Bobbitt mendapati lelaki itu pernah melalui kehidupan yang baik dan menggembirakan sebagai anggota pasukan marin selain pernah mengikuti latihan paramedik dalam pasukan penyelamat helikopter.

Beliau kemudian berkongsi ceritanya di media sosial selain mewujudkan dana melalui ‘GoFundMe’ dengan harapan dapat mengumpulkan wang sumbangan sekitar AS$10,000 (RM40,000) bagi membolehkan lelaki itu mendapat rumah sewa sekali gus menukar kehidupannya.

Bagaimanapun tanpa disangka, dalam masa 12 hari, kisah Bobbitt menarik perhatian ramai apabila wang sumbangan meningkat dengan mendadak sehingga mencecah AS$360,000 (RM1.4 juta). 

“Ketika itu saya fikir saya perlu membantu supaya dia dapat pulang ke rumah. Saya langsung tidak terfikir akan menerima apa-apa balasan seperti ini,” kata Bobbitt semasa ditemu bual dalam rancangan televi­syen Good Morning Amerika.

Bobbitt mengakui apabila berkenalan dengan McClure, dia dapat merasai sesuatu yang berbeza tidak seperti yang dilalui semasa menjalani hidup sebagai seorang gelandangan.

“Orang akan melayan kamu dengan cara yang berbeza apabila melihat kamu seorang gelandangan,” katanya yang pernah bercita-cita menjadi jururawat perkhidmatan udara.

Hari ini, dengan wang yang diterima, Bobbitt berazam untuk membantu sebanyak mungkin golongan gelandangan supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal.

Begitulah selingkar kisah mengenai kebaikan yang sedikit tanpa disangka akhirnya membawa kesan yang besar kepada kehidupan. Semoga kita semua juga akan menjadi orang yang baik dan banyak membuat kebaikan.