Tidak kiralah sama ada besar atau kecil perniagaan itu, ia mempunyai pasang surutnya. Minggu lalu, penulis ke sebuah kedai aksesori kereta di Subang Jaya, Selangor terdengar tauke kedai tersebut mengeluh kerana perniagaannya semakin merudum.

“Kalau ekonomi tidak bagus siapa mahu belanja, aksesori bukan keperluan hanya kehendak. Kalau pelanggan ada wang le­bih baru mereka akan beli,” keluhnya.

Itulah gambaran seorang pengusaha kedai aksesori kereta yang mengakui perniagaannya kurang mendapat sambutan sekarang.

Kisah kedua, apabila penulis teringin makan daging salai masak lemak cili api di Sungai Ramal, Kajang, sambutan pe­langgan di kedai itu cukup memberangsangkan.

Bayangkan, pukul 11.30 pagi sebelum tengah hari orang sudah mula beratur untuk bungkus makanan di situ.

Menjelang tengah hari meja sudah dipenuhi pelanggan. Kalau sudah menjadi tumpuan ramai, makanya apa? Sudah tentu perniagaan itu bagus.

Sambil menjamah keenakan masakan Negeri Sembilan itu, otak penulis ligat melihat situasi perniagaan dalam ekonomi sekarang.

Walaupun, dua perniagaan itu berbeza antara keperluan dan kehendak ia tetap ada pasang surut. Adat orang berniaga begitulah asam garamnya.

Itu situasi tauke, bagaimana pula de­ngan pekerja mereka?

Matematikya mudah, kalau baik perniagaan itu sudah tentu pekerja mereka mendapat ganjaran, bonus dan begitulah sebaliknya kalau perniagaan tidak me­nguntungkan.

Benar, 9/10 rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Bukannya semata-mata untung sahaja tetapi nisbah yang sama harus ditempuhi segala dugaan.

Pendek kata, jangan kita melihat yang indah sahaja. Sebagai pekerja, sebolehnya jangan cepat naik angin jika perniagaan yang diusahakan majikan kita tidak mencapai keuntungan tinggi.

Jika mahu lebih, lipatgandakan titik peluh kita mencari pendapatan sampi­ngan. Segala ketabahan, semangat getir dan masalah dalam perniagaan itu perlu difikirkan juga.

Dalam perniagaan ada likunya, malah kita juga biasa dengar kisah peniaga gulung tikar kerana tidak mampu bertahan.

Kalau mahu ingin berniaga eloklah mantapkan ilmu sebelum melangkah ke bidang itu supaya kita betul-betul memahami pasaran dan selok-belok perniagaan.

Apa jua perniagaan yang kita usahakan sama ada besar atau kecil, biarlah ada niat untuk mencari keberkatan dan keredhaan dalam perniagaan.