Gegaran gempa bumi 7.5 pada skala Richter yang membawa gelombang raksasa tsunami sehingga setinggi enam meter pada 28 September itu bukan sahaja meranapkan Kota Palu bahkan ‘menyapu bersih’ segala benda yang terdapat di pesisiran pantai hingga ke tengah-tengah bandar.

Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. Belum pun sempat rakyat negara berkenaan dan masyarakat dunia ‘menghadam’ pahitnya perkhabaran tragedi itu, dalam tempoh empat minggu dunia dikejutkan pula dengan tragedi pesawat jenis Boeing 737 MAX8 milik syarikat pe­nerbangan tambang murah Indonesia, Lion Air terhempas di perairan Karawang.

Pesawat yang membawa seramai 189 penumpang dan kru itu terhempas ke dalam Laut Jawa dekat pesisir pantai Pakis Jawa, Indonesia selepas 13 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada pukul 6.20 pagi.

Begitulah takdir yang telah tertulis. Kedua-dua tragedi ini membawa mesej bahawa setiap manusia menemui kematian dengan cara yang berbeza-beza. Hakikatnya, peringatan tentang kematian sering diulang-ulang dalam al-Quran. Antaranya Allah SWT berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2:

“Dialah Allah yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk menguji siapa antara kalian yang pa­ling baik amalnya.” 

Boleh dikatakan sejak manusia lahir sehinggalah mereka kembali kepada Maha Pencipta, terdapat begitu banyak perangkap kematian. 

Antaranya termasuklah menghidap penyakit tertentu, mati lemas, kemalangan jalan raya dan sebagai­nya.

Faktanya ialah walau sehebat mana pun kita mampu melepasi kesemua perangkap kematian ini ada satu perkara yang manusia tidak dapat menghindarinya iaitu usia tua.

Sebenarnya syarat untuk menemui kematian itu tidak mengenal usia atau siapa, asalkan hidup mereka pasti mati. Hari-hari yang kita lalui juga tidak pernah sunyi daripada menerima perkhabaran tentang kematian. Baik kematian dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga atau masyarakat setempat. 

Secara jujurnya, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang benar-benar mengambil iktibar setiap kali menerima berita kematian atau menziarahi mereka yang meninggal dunia? Sejauh manakah kematian itu mampu menyuntik keinsafan lalu kita bermuhasabah diri menyiapkan diri untuk berdepan dengan kematian yang bakal kita tempuhi? 

Jika kita boleh merancang dan memilih kehidupan yang baik di dunia mengapa kita masih angkuh untuk tidak mencorak kehidupan selepas kematian? Ya, pilihan kematian ada di tangan kita.

Kita boleh memilih sama ada mati dalam keada­an husnul khatimah iaitu penutupan akhir hayat yang baik atau su’ul khatimah iaitu penutupan akhir hayat yang tidak baik. Penentuan kepada cara kematian yang bakal kita lalui ialah bagaimana kita menjalani kehidupan kita. 

Alangkah beruntungnya mereka ketika hayatnya di­sibukkan dengan amal soleh. Justeru sebagai motivasi, kita sering diajak supaya mengambil iktibar daripada kematian orang-orang soleh.

Golongan yang dicintai oleh ­Allah ini lazimnya akan di­muliakan dengan kematian yang baik.

Syair Arab ada menyebut: “Hendaklah kamu mencon­tohi orang yang mulia walaupun kamu tidak seperti mereka, kerana mengikuti orang yang mulia itu satu kejayaan.”

Sesungguhnya kematian itu sudah cukup sebagai satu peringatan. Mereka yang sedar tentang mati akan sentiasa berusaha mengumpul bekal, meningkatkan takwa, menjaga tindakan, tutur kata dan akhlaknya.

Benar, selain membaca al-Quran, mengingati mati um­pama pencuci hati yang cukup berkesan untuk menyuntik keinsafan.