Pada Februari lalu seluruh negara dikejutkan berita kanak-kanak berusia dua tahun, Nur Qaisarah Medina Sufian maut selepas tertusuk pisau pada perut di rumahnya di Parit Buntar, Perak.

Kejadian kedua, seorang kanak-kanak perempuan ber­usia tujuh tahun dikurung bersendirian oleh ibunya selama lima hari di rumah di Kangar, Perlis sehingga memaksa polis memotong mangga pintu rumah tersebut bagi menyelamatkannya.

Kedua-dua kes tersebut berbeza, satu berlaku tanpa di­sengajakan dan mungkin asbab ajalnya manakala kes kedua memang berlaku pengabaian. Bagaimanapun, kedua-dua kisah itu sangat meruntun hati masyarakat yang boleh diambil sebagai pengajaran dari aspek keselamatan.

Itu kisah yang dilaporkan dalam akhbar namun terdapat beberapa kejadian membabitkan kanak-kanak berlaku di depan mata penulis sendiri.

Antaranya seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan usia tiga tahun hampir dilanggar kereta di depan ibu bapa dan pelanggan sebuah kedai makan.

Semuanya disebabkan kelalaian ibu bapa yang sibuk berbual di tepi jalan selepas selesai menjamu selera.

Nasib kanak-kanak itu baik kerana pemandu kereta tersebut sempat memberhentikan keretanya.

Andailah kanak-kanak itu dilanggar, siapa yang patut dipersalahkan? Ibu bapa, pemandu kereta atau kanak-kanak itu?

Satu kes lain yang juga berlaku depan mata penulis ketika sedang memandu kereta. Seorang kanak-kanak berusia sekitar dua tahun tiba-tiba tergolek keluar daripada kereta yang sedang bergerak di bulatan.

Penulis melihat sendiri pintu kereta itu terbuka dan kanak-kanak itu terjatuh dengan terdapat kenderaan lain di belakangnya.

Menjerit sekuat hati penulis kerana terkejut, begitu juga dengan semua pemandu yang berada di sekitar tempat kejadian. Nasib kanak-kanak ini juga baik kerana semua kenderaan secara automatik berhenti dan dia sempat diselamatkan oleh penunggang motosikal yang kebetulan berada berhampiran.

Jika tidak, berita tersebut pasti menjadi muka depan akhbar keesokan harinya. Sekali lagi, siapa yang harus dipersalahkan, ibu bapa, kanak-kanak atau kereta tersebut? Tetapi, penulis yakin kereta itu pasti mempunyai sistem childlock.

Itu baru dua kejadian yang berlaku depan mata penulis dan silap hari bulan boleh meragut nyawa kanak-kanak kerana kecuaian serta kelalaian ibu bapa.

Belum lagi berjalan di pusat beli-belah, sakit mata dan hati penulis melihat ibu bapa yang tidak mempedulikan anak-anak. Bukan semua, ada yang benar-benar menjaga anak mereka tetapi terdapat segelintir ibu bapa yang terlalu asyik dengan telefon atau membeli-belah sehingga tanpa sedar mengabaikan anak.

Bukan sekali, tetapi banyak kali penulis terpaksa menjadi ibu bapa gantian kerana bimbang selepas melihat kanak-kanak yang bermain keseorangan dan ada yang menangis kerana terpisah daripada ibu bapa.

Jadi, ibu bapa tolong jaga ke­selamatan anak masing-masing tidak kira di mana anak-anak berada hatta di dalam rumah sekalipun.

Jangan sehingga nasi sudah menjadi bubur dan nyawa anak melayang kerana kecuaian kita sebagai ibu bapa. Waktu itu, menangis air mata darah sekalipun tidak berguna.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian, kelalaian dan pengabaian atau pendedahan kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian ke atas anak-anak.

Kesalahan di bawah akta itu membabitkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit ke­salahan.

Buat ibu bapa yang suka meninggalkan anak-anak berseorang tanpa pengawasan sama ada di rumah, dalam kereta dan sebagainya boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika benar sayang anak, jaga dan pantau aspek keselamatan mereka setiap masa. Pastikan mata, tangan dan hati kita sentiasa melekat pada mereka.