Biasanya anak yang sedemikian kerap merujuk kepada ibunya, baik dalam soal perkara biasa mahupun peribadi. Anak tersebut dikatakan sukar berenggang dengan ibu, walaupun dalam perkara tertentu dia mampu membuat keputusan sendiri yang bersesuaian dengan tahap kedewasaannya.

“Maklumlah, anak emak, tak boleh berenggang langsung. Kalau boleh nak tidur di bawah ketiak ibu sampai bila-bila.’’ Demikianlah yang biasa didengar perihal anak yang manja dengan ibu terutamanya dalam membuat sesuatu keputusan atau dalam menjalani kehidupan harian.

Saya tertarik dengan tajuk muka depan akhbar ini baru-baru ini mengenai masih banyak anak muda yang terpaksa bergantung kepada ibu bapa terutamanya dalam soal kewangan walaupun telah bekerja.

Disangkakan ibu bapa sudah boleh menarik lafaz lega dan berpeluk tubuh memerhati kejayaan anak yang sudah be­kerjaya. Bagaimanapun, sangkaan itu meleset kerana untuk tempoh tertentu yang agak panjang, anak mereka masih lagi ketidakcukupan gaji untuk menampung hidup setiap bulan.

Maklumlah baru bekerja, anak-anak terpaksa menghabiskan banyak wang untuk melunaskan berbagai-bagai hutang sebaik sahaja memulakan kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Antaranya perlu melunaskan hutang PTPTN, ansuran kereta, rumah sewa, makan pakai dan sebagainya malah melancong sekali pun.

Bukan sesuatu yang janggal, gaji RM3,000 yang diterima setiap bulan sebaik tamat pengajian tidak pernah cukup terutamanya dalam mengharungi kehidupan mencabar di kota-kota.

Tidak hairanlah anak-anak akan kembali kepada ibu bapa sebagai talian hayat untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan dan sumber melunaskan hutang.

Tanpa merasa malu, ibu bapa tidak ubah dijadikan se­perti bank segera walaupun pada masa yang sama telah pun bergaji tetap.

Memang lumrah, ibu bapa mana yang tidak sayangkan zuriat, tetap menghulurkan bantuan semampu boleh agar anak-anak tidak berterusan dalam kesulitan.

Membuktikan kasih sayang terhadap anak-anak adalah satu hal, bagaimanapun terus-terusan menjadi bank segera untuk apa sahaja keperluan mereka walaupun telah bekerjaya adalah satu isu yang lain pula.

Memang benar, tidak dinafikan menurut laporan akhbar berkenaan, ada ibu bapa terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anak sampai mati. Persoalannya sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

Sesama Kita - Persoalan sampai bila situasi tersebut akan berakhir adalah sesuatu yang subjektif. Ada pula yang mengaitkannya dengan soal ekonomi dan soal sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Memang ramai ibu bapa tidak tergamak melihat anak-anak yang baru memasuki fasa mencabar dalam hidup ini menderita misalnya terpaksa mengikat perut dan tinggal dalam bilik sewa yang seadanya.

Maklumlah sejak dari kecil ditatang bagaikan menatang minyak yang penuh.

Justeru ibu bapa ini sanggup menjadi bank segera buat anak-anak, biarpun sehingga mereka mati.

Begitu pun yang peliknya, setelah kedua-duanya mening­gal dunia dan bank segera ini lenyap, pandai pula anak-anak tersebut melakukan keseimbangan dalam kehidupan terutamanya yang membabitkan soal wang.

Sebenarnya soal ibu bapa dan mereka sebagai bank segera ini bukanlah perkara baharu. Senario tersebut telah berlaku sejak berdekad-dekad lamanya. Cuma keadaan dan keperluan pada ketika itu mengikut situasi pada masa itu.

Besar periuk besarlah keraknya. Tiga empat dekad dahulu, tidak atau kurangnya keperluan terhadap bermacam-macam perkara malah hutang yang terpaksa ditanggung tidak sebesar mana.