Teori dan formula rekod cemerlang puluhan juta yang dikutip Hantu Kak Limah dan Munafik 2 masih menjadi ‘bawang’ yang cuba dirincis-rincis bersama lauk-pauk saat menjamu selera. Banyaklah alasan yang diberikan seperti faktor genre, kepercayaan penonton, pengaruh filem sekuel, personaliti pengarah, barisan pelakon bahkan jenama si penerbit turut dicongak ikut hukum logik. Bagaimanapun, semua alasan yang dikunci oleh kuasa penonton itu payah bertemu titik konkrit. Alasan-alasan tersebut tidak boleh dibaca angkanya.

Pada hemat penulis, penonton filem kebanyakannya laparkan fantasi, imaginasi dan fiksyen melampau biarpun di luar logik. Sebab itulah kebanyakan filem fiksyen adiwira dari Holly­wood jarang yang tidak jual tiketnya. Pembikin Hollywood tidak puas-puas dengan Avengers, Superman atau Spider-Man. Hero-hero yang sukar dijemput maut, aksi pertarungan dari satu bangunan atau benua ke benua lain memang menjadi kegilaan sejak dahulu, tetap ditunggu dan ditonton. Satu faktor lagi adalah jenama. Siapa yang tidak sukakan jenama.

Apabila sudah percayakan jenama, datang cap apa pun, jenama kegemaran tidak akan kalah. Macam peminat iPhone yang tetap dengan iPhone biarpun Huawei pun bagus. Samsung tidak kurang hebatnya, tetapi orang iPhone tetap dengan iPhonenya. Sama juga dengan Clorox, orang lebih percaya ia berbanding Vanish, walaupun Vanish tidak melunturkan warna pakaian. Tetapi tetap Clorox yang disebut orang.

Berbalik ke soal filem, pencandu filem memang ternanti-nantikan filem seperti One Two Jaga begitu juga dengan Hantu Kak Limah dan Munafik 2 untuk dikupas. Puas menjual muka pelakon dengan gaya pose mengancam berserta pengalaman sepanjang pembikinan, seluruh isi akar umbi seboleh-boleh­nya mahu ditelanjangkan untuk memanggil penonton beli tiket masuk menikmati wayang. Tidak cukup ulasan dalam akhbar dan media sosial, ada bual bi­cara di radio, Facebook Live serta di televisyen. Pendek kata, segala cabang publisiti dilakukan. Sedihnya, ketika belum satu minggu tayangan, sudah ada panggung yang menurunkan judul filem arahan Nam Ron tersebut daripada ditayangkan. 

Ambil contoh filem yang dipuja-puja peminat filem tegar, Bunohan yang mengutip sebanyak RM780,000 sewaktu dita­yangkan pada 2012. Bentuknya hampir sama, cuma Bunohan lebih berat berbanding karya terbitan Bront Palarae (salah seorang pelakon utama Bunohan) itu. Rasanya juga, hampir separuh wajah-wajah Bunohan ada dalam One Two Jaga. Dan nasib diterima hampir sama. Namun, Dukun yang juga sentuhan pengarah Bunohan dengan barisan pelakonnya terselit nama Nam Ron dan Bront lebih bernasib dari segi kutipan (RM10 juta) biarpun tertangguh tayangan selama 12 tahun. 

Bagaimanapun, kata orang sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Daripada kutipan yang sedikit tetapi diperbanyakkan dengan usaha dan semangat promosi pasukan produksi dan pencinta filem, One Two Jaga masih bertahan sejak ditayangkan pada 6 September lalu. 

Jika dilihat pada angka yang tersiar dalam laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), kutipan One Two Jaga sehingga Jumaat lalu telah naik menjadi RM213,262. Ada panggung mula diintai penonton termasuk di Kuching, Sarawak apabila pihak Tanjung Golden Village (TGV) Viva­city telah menambah satu panggung untuk tayangan One Two Jaga. Jadi, anggap sahaja Nam Ron sekadar bergurau mahu bikin filem porno kerana One Two Jaga kurang sambutan.  

Saat ini, perhitungan produksi One Two Jaga untuk membikin karya baik sudah terukir pada trofi, lihat sahaja senarai festival filem antarabangsa yang telah dijejaki termasuk tercalon dalam senarai kategori Filem Terbaik Asia dalam Five Flavours Asian Film Festival di Poland, tinggal lagi perjuangannya adalah untuk ia dinikmati semua lapisan, bukan sekelompok pencinta filem sahaja.