Sudah pasti riwayat itu berkait rapat dengan amalan masyarakat masa dahulu sehinggalah kini, iaitu berhutang. Jika tidak jujur mulalah berdusta dan berdolak-dalik nak elak bayar hutang.

Tidak dinafikan berhutang adalah satu bentuk muamalat dan cara hidup masa kini bagi memudahkan urusan kehidupan manusia.

Ia merupakan satu urusan yang dibenarkan bagi memenuhi kehendak dan kehidupan. Berhutang memenuhi keperluan dalam berjual beli tetapi ia tertakluk kepada kehendak bahawa hutang perlu dibayar. Dalam kehidupan moden kini hutang biasanya direalisasikan sama ada secara lisan atau hitam putih. Oleh sebab itulah Islam membenarkan berhutang selagi ia tidak dicemari dengan penipuan dan tipu helah.

Dalam keadaan tertentu, kemampuan manusia memang dalam keadaan terbatas, tetapi dengan berhutang, ia mampu memenuhi kehendak asalkan hutang mampu dilunas. Ketidakupayaan untuk melunaskan hutang sama ada kerana ketidakmampuan atau tipu helah memang berdosa.

Oleh sebab itulah, jika dikaitkan dengan riwayat itu, doa Rasulullah SAW menunjukkan bahawa amalan berhutang boleh menjadi tidak sihat jika ia tidak diuruskan dengan baik dan berdosa apatah lagi ia gagal dilangsai secara tipu helah.

Jika ia tidak diuruskan dengan baik, pasti ada sikap bohong ketika berbicara dan janji yang tidak ditepati jadi amalan.

Oleh itu umat Islam diminta agar menjauhi sikap sedimikian kerana pada akhirnya ia akan merosakkan keluarga dan umat. Islam memang tidak menggalakkan berhutang jika bukan kerana keperluan sebaliknya kerana untuk hidup bermewah-mewah atau bersenang-lenang semata-mata.

Pada zaman moden kini, boleh dikatakan semua orang berhutang daripada sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya. Ada orang berkata, manusia telahpun berhutang sejak ia dilahirkan lagi.Demikianlah keadaan seterusnya apabila manusia berhutang, me­langsaikan dan kemudian berhutang kembali sehinggalah ke akhir hayat.

Hutang pelajaran, hutang kereta, hutang rumah dan bermacam-macam lagi sehinggalah sekecil berhutang dengan jiran atau de­ngan kawan-kawan.

Ironinya, bukan sedikit orang kaya dan berkemampuan turut terjebak dengan hutang padahal ia tidak perlu pun berbuat demikian.

Ini kerana mereka terjerat de­ngan kehendak untuk bermewah-mewah dan memenuhi kehendak status.

Orang kaya tetap mahu berhutang menggunakan kad kredit walaupun hendak membeli barangan runcit keperluan dapur sahaja.

Memburukkan keadaan beban hutang bukan sahaja menjerat golongan dewasa, malah golo­ngan muda juga tidak terkecuali dan ada yang telah disenarai muflis kerana gagal menguruskan perbelanjaan menggunakan kad kredit dengan baik.

Adalah amat meresahkan dan dikesalkan jika golongan muda ini paling ramai dibelenggu hutang bertimbun sedangkan mereka adalah kumpulan pada usia produktif. Mereka dilihat gagal mengukur baju pada badan sendiri.

Adalah pahit untuk ditelan mereka yang terbabit berdemons­trasi agar PTPTN dihapuskan pada sedikit masa dahulu seharusnya adalah kerana gagal menguruskan hutang selain terjerat dengan percaturan politik pihak-pihak tertentu.

Sesama Kita - Hadis Rasulullah­ SAW seperti yang diriwaya­t­kan oleh al-Bukhari berbunyi: “Barang siapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayar­nya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali namun barang siapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, makan Allah akan menolong menghilangkannya.’’

Satu lagi hadis seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA berbunyi: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban syahid kecuali ia mempunyai hutang.’’

Demikianlah beratnya kewajiban membayar hutang sehinggakan kegagalan dalam melunaskannya dipertanggungjawabkan sehingga akhirat.

Justeru adalah penting untuk kita memahami bahawa membayar hutang bukan sesuatu yang perlu diambil mudah.

Sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain termasuk membayar hutang) dan bertaqwa, sesungguhnya Allah mengasihi mereka (orang yang bertaqwa) - Ali- Imran ayat 76.