Dalam bahasa muzik, nyawa dan rasa sama seperti irama dan lagu, manakala jasad adalah si pelantunnya. Lengkap tiga istilah tersebut, sempurnalah sebuah karya yang mampu ‘mendunia’ dengan keasyikan dan gemanya.

Bercakap tentang rasa, ingatan terhadap watak-watak animasi dalam filem animasi Pixar, Insightout pada yang ditonton beberapa tahun lalu tiba-tiba menjengah fikiran. Lima karakter comel diberi nama Joy, Sadness, Anger, Fear, Disgust diberi roh mewakili perasaan-perasan seperti gembira, sedih, marah, takut dan jengkel yang membentuk keperibadian Rilley.

Mereka bekerja dan berfungsi serta mempengaruhi kehidupan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dipersembahkan dalam ruang fantasi dan imaginasi yang cukup logik. Ia begitu menarik.

Bukan sahaja kanak-kanak, kehidupan orang dewasa juga sangat dipengaruhi oleh perasaan. Bayangkan kita bangun pagi dengan mimpi ngeri, belum sempat menggosok gigi atau minum secawan kopi, tiba-tiba sahaja mendapat panggilan ‘cinta’ daripada pihak bank menyatakan sudah dua bulan bayaran pinjaman peribadi atau pembiayaan rumah masih tidak dijelaskan.

Suara pemanggil di hujung talian pula berbunyi angkuh dan seolah-olah anda akan diheret menaiki ‘Black Maria’ jika gagal membuat pembayaran sebelum pukul 5 petang berkenaan. Rasanya amat menjengkelkan.

Kisah sebilangan penduduk dunia membunuh diri - telan racun, terjun bangunan, menggantung diri, bunuh anak sebelum tembak kepala sendiri dan bermacam modus operandi dilakukan untuk keluar daripada masalah yang menekan juga berpunca daripada rasa marah, kecewa, depresi atau sebagainya.

Orang kata, ikut rasa binasa, ikut hati, mati. Jadi apa lagi tinggal? Sebagai manusia, kita memang tidak boleh dipisahkan daripada rasa dan hati. Cuma, tinggal lagi akal budi yang membezakan kemusnahan rasa atau kematian hati.

Hujung tahun 2018 yang bakal tinggalkan sekitar dua minggu lagi menghadirkan banyak rasa. Suka duka 2018 masih basah dalam ingatan, namun putaran malam siang mendekatkan kita terhadap kalendar 2019 yang mungkin tidak mendatangkan banyak beda secara ketara.

Secara peribadi, juga mungkin bagi banyak orang, tahun 2018 menggugah zon selesa yang dikecapi selama ini. Pertukaran kerajaan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei, rombakan demi rombakan dalam sistem pemerintahan negara yang sejak 60 tahun ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional, membawa kepada gandaan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan termasuklah tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atas alasan pengurusan kos oleh majikan dan peralihan kuasa serta banyak episod lain, semuanya mengisi helaian buku 2018 dengan penuh warna.

Hitam putih atau dalam kesamaran bayangan, penuh berwarna-warni atau satu tona, itulah kehidupan yang harus ditempuhi mengikut acuan akal budi masing-masing. Ibarat kata-kata klise yang selalu kita dengar rezeki ada di mana-mana, namun pada akhirnya sama ada gembira, sedih atau terpaksa kitalah yang memilih dan mencorak kehidupan kita.

Satu perkara yang bertabir kemas dalam fikiran ramai ketika ini juga mungkin perasaan lega, gembira bercampur bangga dan terharu dek lautan kebersatuan hati rakyat Malaysia khususnya orang Melayu-Islam yang berhimpun membanjiri Kuala Lumpur pada Sabtu 8 Disember lalu.

Biarpun ada suara-suara provokasi mengatakan perhimpunan aman sebagai kesyukuran dan bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) itu tidak relevan, namun secara logiknya ia telah membentuk satu amaran keras kepada pemimpin negara.

Katakan apa sahaja, tetapi terima kasih kerajaan Pakatan Harapan kerana telah menjentik hati rakyat dengan isu sensasi kerana berupaya membentuk tsunami yang luar biasa gambarannya. Penulis tumpang bangga.