Katanya: “Tuan-tuan tahu tidak, bagaimana untuk me­ngenali identiti anak-anak kita pada masa depan bermula pada hari ini?”

Beliau memperincikan me­ngenai kebolehan dan perwatakan seseorang murid menerusi gred A, B, C, D dan E yang diperoleh mereka dalam setiap subjek dengan begitu meyakinkan sekali.

Tetapi penulis sudah tidak ingat perinciannya.

Ibu bapa mana yang tidak mahu anak-anak mereka memperoleh 5A (sekarang 6A) dan berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah-sekolah ha­rian kawalan yang ada nama di seluruh negara.

Ketika itu, sekolah cukup meriah dengan acara meraikan pelajar cemerlang sambil disaksikan semua ibu bapa dan murid lain yang hadir.

Tidak timbul isu ada pelajar berkecil hati, berasa tersisih atau hak asasi mereka sebagai murid didiskriminasi oleh pihak sekolah.

Kejayaan pelajar lain menjadi inspirasi kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka meraih kejayaan serupa.

Malang sekali, ketika semua pihak gembira meraikan kecemerlangan secara terbuka, timbul pula isu lain iaitu ibu bapa dikatakan begitu obses untuk melihat anak mereka berjaya.

Sikap itu didakwa tidak baik untuk diteruskan kerana akan mengakibatkan stres kepada anak-anak.

Hakikatnya, sistem pendidikan negara ini menyediakan pelbagai peluang kepada semua kategori pelajar cemerlang, sederhana dan lemah untuk berjaya di semua peringkat.

Persoalannya ialah apakah salah jika ibu bapa begitu obses mahu anak mereka cemerlang?

Mereka ini insan-insan yang bertanggungjawab. Mereka mahu bersama negara untuk melahirkan modal insan yang menjadi harta negara pada masa depan.

Ibu bapa ini tidak mahu anak mereka menjadi penagih dadah, perompak, peminta sedekah, penipu, perasuah dan sebagainya.

Mereka mahu anak mereka menjadi tenaga profesional berjaya.

Mereka berkorban masa, wang, tenaga dan buah fikiran untuk memajukan anak-anak.

Bermula tahun ini, budaya meraikan pelajar cemerlang tidak lagi diadakan seperti dahulu.

Sebaliknya Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah yang mengandungi empat komponen termasuk UPSR dise­rahkan kepada murid seorang demi seorang.

Untunglah sekolah yang murid mereka langsung tiada 6A kerana terselamat daripada kritikan ibu bapa.

Pelik juga memikirkan apabila sekolah tidak digalakkan untuk mengadakan majlis tersebut. Tujuannya semata-mata tidak mahu menjejaskan emosi pelajar yang pencapaian mereka sederhana dan lemah.

Sekadar bertanya, emosi siapa yang terjejas? Ibu bapa atau anak-anak berkenaan?

Ironinya, situasi ini berlaku ketika sistem Kemahiran Berfikir Aras Tinggi sedang dilaksanakan di sekolah rendah.

Sistem itu sepatutnya mendidik murid menjadi lebih berani untuk bersaing secara terbuka, bukan sebaliknya.

Apapun, penulis berharap lebih ramai lagi calon akan memperoleh 6A pada USPR tahun-tahun akan datang berbanding 8,958 orang pada tahun ini.

Ketika sistem itu mula dilaksanakan, hanya 4,896 calon memperoleh 6A sekali gus mencetuskan kebimbangan ibu bapa.

Penulis berharap sistem baharu ini mampu melahirkan 45,000 murid 6A pada satu hari nanti.

Keadaan itu boleh berlaku apabila pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan murid semakin dapat menerima sistem yang mencabar minda itu.

Sebelum ini, menerusi sistem lama, dianggarkan 45,000 calon UPSR memperoleh 5A saban tahun.

Marilah kita semua berla­pang dada dalam isu ini. Majlis meraikan pelajar cemerlang merupakan tiang seri institusi persekolahan yang mencetuskan inspirasi kepada kita semua. Ia membentuk budaya persaingan yang sihat.

Tiada salahnya untuk kita meraikan anak-anak kecil yang comel dan pintar asalkan ia tidak melampaui batas.