Walaupun ada dalam kalangan kita menghadapi dugaan, ia adalah bahagian masing-masing.

Sepanjang bulan yang mulia ini sudah tentu banyak perkara yang baik kita lakukan, tidak kiralah sama ada besar atau kecil.

Yang penting, keikhlasan kita melaksanakannya kerana itu lebih baik dijadikan pegangan hidup.

Dalam tempoh hampir sebulan berpuasa, sudah tentu rezeki berbuka sana sini dinikmati dan dikongsi bersama insan tersayang, ahli keluarga dan sahabat.

Bagi penulis, peluang berbuka pada tahun ini adalah sederhana kerana tuntutan kerja.

Minggu lalu, sewaktu penulis memenuhi undangan berbuka puasa di sebuah kafe di Damansara, apa yang menarik perhatian penulis ialah insan istimewa seorang remaja lelaki.

Mungkin di mata orang lain dia dianggap cacat, namun ia seorang insan istimewa yang disayangi oleh keluarganya.

Duduk di depan meja penulis, telatahnya turut mencuit hati pelayan kafe itu.

Dalam kekurangan remaja itu, dia tetap bijak. Dia boleh membezakan air mangga kordial atau jus fresh.

Kalah dengan jawapan bersahaja remaja itu, pelayan itu akur kerana apa yang dikatakan budak itu adalah betul.

“Kafe kami memang tiada yang fresh, ha­nya kordial. Untuk kamu, kami bagi percuma dan selamat berbuka,” kata pelayan itu.

Memerhati gelagat bersahaja dan lucu budak itu, penulis tersenyum ketika lagi dua minit azan berkumandang.

Abang-abangnya turut ketawa dengan telatah adik mereka sambil mengusap-usap kepalanya.

“Saya macam bos (sambil menunjuk ayahnya), baju batik sama mesti la betul,” balas budak itu kepada abang-abangnya.

Ya, pada hari itu dia pakai baju batik lengan panjang sama seperti ayahnya sedangkan adik beradik lain sekadar berbaju T.

Biarpun, sikapnya begitu, dia tetap nampak beradab dan berbudi bahasa dengan pelayan kafe itu.

Jadi, apakah alasan kita yang normal mempunyai kewarasan akal kadangkala tidak menjaga adab dan budi bahasa dalam bermasyarakat?

Bagi penulis, kisah budak itu boleh dijadikan teladan dan wajar dicontohi dalam hidup bermasyarakat.

Ini kerana kalau kita tengok kisah masyarakat seperti dilaporkan dalam akhbar ada yang sanggup kurang ajar sesama ahli keluarga dan ibu bapa.

Tidak perlulah penulis ulas panjang, ada sahaja berita anak sanggup bunuh emak sendiri dan sebagainya.

Itu belum lagi komen tidak beradab netizen dalam media sosial.

Jika amalan baik menjadi sebahagian dalam kehidupan kita, pastinya wujud keharmonian dalam masyarakat.

Dalam kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca setia dan staf Kosmo!.