Lebih ajaib apabila perjalanan yang panjang itu hanya memerlukan masa yang singkat iaitu baginda sampai semula ke rumahnya sebelum hilang panas di tempat pembaringannya. Itulah salah satu mukjizat ter­agung Nabi Muhammad yang tidak ada pada mana-mana makhluk ciptaan Allah SWT.

Abu Lahab yang sering mencaci dan mengherdik nabi kerana membawa Islam merupakan orang yang bertanggungjawab mengumpul penduduk Mekah untuk mendengar apa yang hendak disampaikan oleh nabi sebaik terbitnya fajar 27 Rejab.

Niat jahat Abu Lahab ialah ingin membuktikan kepada penduduk Mekah bahawa nabi seorang pendusta tetapi malangnya dia tersilap kerana apa yang diceritakan oleh Rasulullah itu dibenarkan oleh sahabatnya, Abu Bakar dan mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Masjid al-Aqsa.

Ini sudah cukup menjadi dalil bahawa kita harus berkumpul untuk mendengar kisah-kisah Israk dan Mikraj. Selain itu, surah an-Najm yang terdapat dalam al-Quran turut menjadi dalil yang kuat mengenai peris­tiwa agung tersebut.

Turunnya nabi ke bumi selepas peristiwa itu membawa satu perintah yang mewajibkan umat Islam untuk solat lima waktu sehari semalam.

Lima waktu solat bersamaan pahalanya dengan 50 waktu yang ditetapkan pada awalnya sebelum dikurangkan kepada lima selepas sembilan kali nabi turun naik ke Sidratul Muntaha.

Solat merupakan penghubung antara hamba dengan Allah. Kemanisan solat hanya dapat dirasai apabila seseorang itu benar-benar memahami siapa yang disembahnya.

Menghadirkan jiwa ketika solat adalah perkara yang amat payah untuk dilakukan. Jasad boleh berada di dalam saf, namun hati dan fikiran sering kali melayang memikirkan pelbagai perkara berkaitan duniawi.

Penulis teringat pesan guru mursyid mengatakan gurunya pernah berpesan jika hendak ajar orang solat, janganlah ajar solat yang sah sahaja sebalik­nya ajarkan kepada mereka solat yang diterima ibadahnya.

Solat yang sah belum tentu diterima tetapi solat yang dite­rima ibadahnya sudah tentu sah dari segi hukum dan syaratnya. Yakin dengan solat yang dikerjakan menuntut satu pelaksanaan yang berkualiti tinggi. Tempat solat juga memainkan peranan yang mampu memberikan ketenangan jiwa dan rohani.

Sebagai contoh di kampung penulis di Tanjung Kling, Me­laka, masjid yang telah dibina berpuluh tahun lalu telah dicemari dengan campur tangan politik yang tidak lagi mewujudkan ke­satuan masyarakat yang malah telah lari daripada maksud asal masjid itu dibina.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, hampir semua jawatankuasa masjid di kawasan Parlimen dan Dewan Undang­an Negeri telah bertukar ta­ngan. Para imam dan pengerusi masjid ditukar dan yang lebih malang pelantikan orang luar kawasan menjawat jawatan itu mengundang perselisihan dan ketidakharmonian.

Bayangkan, bagaimana jawatankuasa baharu itu hendak mendapat kerjasama penduduk setempat walhal dia bukannya anak kariah kawasan itu.

Apalah salah masjid sampaikan menjadi mangsa politik pihak tertentu. Janganlah diganggu hak istimewa orang Islam di negara ini kerana mereka tidak pernah hendak mengganggu dan campur ta­ngan dalam urusan agama lain.

Lebih mengecewakan, pe­mimpin yang sepatutnya melindungi dan menjaga kebajikan Islam kini bersikap liberal yang nampaknya lebih mementingkan kedudukan dan pengaruh politik daripada meng­angkat dan mengagungkan anutan agama yang ditinggalkan umat terdahulu.

Mempelajari solat tidak pernah ada erti terlewat. Sekuat dan sejauh mana seseorang itu pergi, dia pasti akan kembali kepada Yang Maha Mencipta. Didiklah diri supaya dapat mengerjakan solat secara berjemaah dan pada awal waktu.

Warna-warna alam akan berubah mengikut masuknya waktu solat dan kita perlu ta­mak untuk merebut masa keemasan tersebut kerana sesungguhnya kebanyakan daripada kita tidak menyedarinya.