Destinasi yang dituju juga cepat sampai. Tidak perlu mengekori deretan kereta di lorong kereta untuk memotong lori atau bas pada waktu siang atau malam.

Kemudahan Lebuh Raya Utara-Selatan yang dibina kerajaan dan siap sepenuhnya secara berpe­ringkat mampu menjimatkan masa perjalanan.

Kemudahan infrastruktur yang cantik itu juga perlu diikuti dengan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.

Nahas di lebuh raya kini semakin kerap berlaku. Sebelum ini tidak banyak kemalangan maut berlaku di lebuh raya.

Berikutan pertambahan jumlah kenderaan di negara ini, jumlah kematian akibat nahas jalan raya juga semakin bertambah.

Baru-baru ini dua penunggang motosikal maut di Kilometer 405 berhampiran Kuala Kubu Bharu, Selangor. Dua penunggang itu maut selepas sebuah treler merempuh konvoi bermotosikal itu.

Kemalangan di lebuh raya kendalian syarikat Plus Malaysia Berhad (PLUS) akibat objek asing antaranya tayar pernah berlaku di lebuh raya.

Penulis juga pernah terlanggar objek yang kelihatan seperti bampar kereta tidak jauh dari R & R Ulu Bernam di lebuh raya menghala ke utara pada Isnin lalu.

Kejadian berlaku pada waktu malam. Semasa me­langgar bampar itu, tiada kenderaan lain berada di belakang kereta penulis.

Perlanggaran itu berlaku selepas penulis mengisi minyak kenderaan di R & R Ulu Bernam. Kejadian itu juga terjadi selepas kira-kira 10 hingga 15 minit kereta penulis meninggalkan kawasan rehat dan rawat itu.

Semasa kejadian, kenderaan yang dipandu penulis melanggar objek seperti bampar di lorong tengah lebuh raya itu. Penulis tidak sempat untuk menukar haluan ke kanan atau kiri. Akhirnya keputusan untuk melanggar bampar itu dibuat berbanding membrek kereta secara mengejut.

Kelajuan kenderaan ketika itu adalah hampir 110 kilo­meter sejam. Akibat rempuhan itu bahagian bampar kanan kereta penulis mengalami kerosakan dipercayai akibat lantunan objek seperti bampar kenderaan.

Bahagian depan bonet kenderaan penulis turut mengalami kerosakan kecil. Penulis kemudian meng­hubungi talian PLUS bagi memberitahu tentang objek tersebut. Jurucakap PLUS itu juga memberitahu bahawa penulis perlu membuat laporan polis dan mengisi borang khas terlebih dulu jika mahu me­nuntut ganti rugi.

Penulis kemudian membuat laporan polis dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu. Ketika ini, penulis tidak bercadang untuk membuat tuntutan ganti rugi kerana kemalangan itu melibatkan kerugian yang amat kecil.

Berdasarkan laporan, sebanyak 1,178 kemalangan dilaporkan berlaku akibat terlanggar objek di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS pada tahun 2015.

Justeru, ketika musim cuti sekolah ini, semua pemandu kenderaan perlu berhati-hati ketika memandu di lebuh raya bagi mengelak melanggar objek asing dan haiwan. Penulis pernah menyaksikan sebuah kereta terbalik kerana terlibat dalam kejadian lembu berkeliaran di lebuh raya pada waktu malam.

Pemandu kenderaan perlu mengamalkan sikap berhati-hati dan memandu mengikut kelajuan yang dibenarkan. Jangan mengikut emosi dan memandu secara melulu ketika memandu kerana ia mungkin menyebabkan kemalangan jalan raya.