Setiap kali menjelang Syawal, kebanyakan da­ri­pada kita yang berada di perantauan pasti tidak sabar hendak pulang ke pangkuan keluarga di kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri bersama. Ada yang sudah me­lakukan persiapan sejak dari awal Ramadan lagi.

Pulang ke desa merupakan tradisi Aidilfitri yang biasa bagi kebanyakan daripada kita dalam me­nyambut hari kemena­ngan ini. Namun, ada juga antara kita yang mengambil kesempatan cuti panjang sempena hari raya untuk melancong ke luar negara bersama keluarga.

Ia adalah satu tradisi yang jarang dilakukan kebanyakan daripada kita dan mungkin ada yang menganggap bercuti ke luar negara ketika orang lain menyambut hari raya di kampung halaman adalah sesuatu yang pelik.

Lokasi bukanlah se­galanya dalam meraikan Lebaran atau perayaan lain. Tidak kiralah beraya di mana sekali pun, yang penting ia dapat disambut bersama keluarga. Mungkin itu sajalah masa yang ada untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga memandangkan hari-hari lain sibuk de­ngan pelbagai urusan.

Bukankah ia lebih bermakna daripada pulang ke kampung tetapi masing-masing asyik sibuk de­ngan gajet di tangan.

Tidak semua daripada kita dapat beraya bersama keluarga di hari raya ini. Disebabkan desakan tugas, ada antara kita yang terpaksa bekerja antaranya anggota unit beruniform.

Pengorbanan pegawai dan anggota unit beruniform yang tidak dapat bercuti bersama keluarga demi menjaga keselamatan negara dan kesejahte­raan rakyat patut diberikan pujian.

Masyarakat perlu berte­rima kasih kepada mereka yang sanggup berkorban untuk tidak bersama ke­luarga tercinta demi menggalas tugas yang diama­nahkan.

Pada tahun ini, dianggarkan seramai lebih 40,000 anggota unit beruniform meliputi Ang­katan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bertugas sempena Aidilfitri.

Rasa kagum dan terharu dengan keluarga mereka yang memahami serta terus tabah apabila ahli keluarga tidak dapat pulang beraya bersama demi menjalankan amanah negara.

Namun, ada juga individu yang tidak dapat beraya bersama keluarga bukan kerana tugas, tetapi disebabkan kehilangan insan tersayang akibat tragedi tertentu atau hidup sebatang kara sejak dilahirkan dan terpaksa menumpang kasih de­ngan keluarga angkat atau institusi kebajikan.

Sedih melihat nasib mereka yang tidak dapat meraikan hari kemena­ngan bersama insan tersayang pergi menghadap Ilahi lebih-lebih lagi apabila kehilangan tersebut berlaku tidak berapa lama lagi menjelang Syawal.

Setiap hari pasti ada saja berita kemalangan yang mengorbankan nya­wa menjelang Aidilfitri. Lebih menyedihkan, anak-anak yang masih kecil dan masih bergantung hidup kepada ibu bapa terpaksa menumpang kasih de­ngan orang lain.

Apalah maknanya meraikan hari kemenangan jika tidak dapat disambut bersama keluarga tercinta.

Mereka yang di perantauan dan masih mempunyai ibu bapa serta keluarga, pulanglah ke pangkuan mereka dan berbaktilah selagi nyawa masih dikandung badan. Gembirakanlah hati mereka.