Penulis sendiri kadangkala tertarik juga dengan pelbagai makanan di bazar Ramadan tetapi dalam keadaan ekonomi diri sendiri yang tidak bagus, penulis hanya membeli makanan yang wajib, selebihnya memasak di rumah.

Pernah sekali penulis terliur dengan aroma martabak namun ketika hendak membayarnya agak terkejut kerana harganya kini RM4.50 dengan saiznya makin mengecil. Rasanya kali terakhir penulis membelinya pada harga RM3.50 sekeping. Dalam hati yang kelat, penulis membayar jua RM4.50 tetapi jika mengetahui lebih awal harga itu sudah tentu penulis membatalkan niat untuk membelinya.

Bukannya kedekut tetapi rasanya tidak berbaloi dengan harga kerana saiz petaknya agak kecil dan isinya hanya telur dan bawang walaupun yang dipesan tadi martabak daging. Sebenarnya tiada bezanya antara martabak daging atau ayam kerana bagi penulis, ia sela­yaknya hanya dipanggil martabak telur.

Walaupun promosi di bazar Ramadan itu ditulis dengan pelbagai rasa dan kelainan namun akhirnya apabila dibeli, telur dan bawang yang lebih menonjol. Seorang teman pernah bercerita tidak berpuas hati dengan roti john yang dibelinya, di mana-mana bazar Ramadan sudah tentu roti john dijual dengan pelbagai harga dan saiz.

“Bagi aku sama sahaja, roti john ayam, da­ging rasanya tetap sama banyak telur dan sayur, aku tidak pernah dapat rasa secebis daging pun dalam roti berkenaan.

“Walaupun harganya lebih mahal berban­ding sebungkus nasi, akhirnya makan separuh sahaja dengan hati yang hampa,” kata teman penulis panjang lebar.

Kisah harga mahal dan tidak berbaloi itu juga berlaku ketika membeli kelengkapan Aidilfitri. Penulis kasihan juga kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai, sudah tentu belanja untuk membeli pakaian setiap anak-anak sekurang-kurangnya tiga pasang seorang. Jika mempunyai anak lebih tiga orang boleh mencecah RM1,000.

Namun apa yang dikesalkan apabila ada gedung pakaian yang menaikkan harga seolah-olah mengambil kesempatan ketika musim perayaan ini.

Bayangkan seluar panjang untuk kanak-kanak berumur bawah 8 tahun mencecah RM60 iaitu sama harga dengan seluar dewasa.

Tidak hairanlah banyak kedai bundle atau platform online barangan terpakai menjadi pilihan membeli kelengkapan hari raya nanti, bukan sahaja murah tetapi menang memakai kalau kena gaya membeli.

Akhirnya kita terpaksa betul-betul mengira bajet yang kita ada untuk memenuhi segala keperluan sepanjang musim perayaan. Jangan sampai terpaksa meminjam, itu sangat tidak berbaloi.