Biarpun ramai yang meramal lagu Sampai Bila de­ndangan Misha Omar dan Semakin nyanyian Siti Sarah akan bergelar juara kerana populariti dan aura yang dibawa oleh penyanyi­nya, tetapi Haram ciptaan Hael dan Ezra Kong itu memiliki magis tersendiri dan berjaya membawa pulang trofi utama.

Kemenangan tersebut telah mencipta sejarah apabila Hael dan Ezra me­rangkul trofi kejuaraan dua tahun berturut-turut. Terdahulu pada AJL32, mereka telah dinobatkan juara menerusi lagu Jampi.

Misha yang diakui cukup hebat pada AJL33 hanya berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik dan tempat ketiga. Sementara itu, lagu Bunga dendangan Ara mencipta kejutan apabila memenangi tempat kedua.

Bagaimanapun momen yang paling diingati sepanjang AJL33 berlangsung adalah persembahan Sufian Suhaimi menerusi lagu ‘berhantunya’ yang penuh kontroversi Di Matamu.

Memilih konsep ‘pelamin anganku musnah’ di sam­ping penyampaian lagu yang penuh syahdu sehingga membuatkan rakan artis dan penonton menangis, Sufian berjaya menyampaikan mesej lagunya dengan begitu baik.

Belum pun habis persembahannya di pentas AJL33, Sufian dan Di Matamu telah sohor kini dalam laman sosial terutamanya Twitter.

Ya, ramai yang mengaitkan lagu Di Matamu dengan kisah putus tunangnya bersama pelakon Elfira Loy kerana lagu tersebut dilancarkan selepas episod pa­ling gelap dalam kehidupan Sufian.

Biarpun Sufian berkali-kali menafikan lagu itu ada kena-mengena dengan kisah putus tunangnya, peminat dan netizen tidak peduli.

Jadi, apabila Sufian memi­lih konsep ‘pelamin anganku musnah’ dalam persembahan Di Matamu di atas pentas AJL33 pandangan netizen seolah-olah tepat dan bagi penulis Sufian adalah seorang yang bijak.

Dia mengambil peluang dan mempergunakan sebaik­nya emosi yang terlarut dalam lagu dan kontroversi putus tunangnya sehingga kesedihan serta kepiluannya dirasai oleh penonton.

Tidak perlu bawa segerombolan orang atau bikin drama atas pentas, cukup hanya menampilkan Sufian seorang dan pe­lamin, emosinya dirasai seluruh pelosok Arena Axiata pada malam itu.

Malah, Sufian tidak perlu bersusah payah untuk me­nyampaikan mesej yang tersirat kerana netizen begitu rajin dan laju membuat kajian apabila menampilkan persamaan pelamin yang digunakan dalam persembahan AJL33 de­ngan pe­lamin pernikahan Elfira Loy. Kebetulan? Mungkin ya.

Selain menerima pujian termasuk daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyifatkan persembahannya begitu ‘deep’, Sufian juga dihentam kerana dilihat masih tidak ‘move on’ dengan kisah putus tunang.

Namun, khalayak harus ingat setiap persembahan dalam pentas besar seperti AJL33, konsep serta hiasan pentas bukan atas keputusan penyanyi semata-mata, sebaliknya melibatkan begitu ramai orang di belakang pentas daripada penerbit, pengarah dan kru.

Persembahannya begitu menjadi kerana gabungan idea dan kerjasama semua orang di sebalik tabir AJL33. Jadi, untuk mengatakan Sufian sengaja memancing perasaan penonton dengan menjual kisah putus tunang dengan konsep ‘pelamin anganku musnah’ adalah tidak adil.

Tidak kira apa juga spekulasi yang timbul, Sufian telah berjaya meletakkan persembahannya sebagai momen yang tidak boleh dilupakan sebaris dengan persembahan Ramlah Ram yang memakai baju berwarna putih dengan corak hati pada bahagian dada ketika mendendangkan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu yang bergelar juara AJL pada 1988.