Ramai juga yang tidak menyangka jalan cerita yang ringkas dan lakonan pelakonnya mampu menyebabkan panggung wayang dipenuhi de­ngan gelak ketawa penonton.

Elemen komedi dan dialog bersahaja menyebabkan seorang rakan penulis mahu menonton buat kali kedua walaupun dia sebelum ini skeptikal dengan filem-filem hantu tempatan.     

Ramai juga penonton yang mengetahui Hantu Kak Limah bukan diadaptasi daripada kisah benar. Susun atur ceritanya, dialog dan adegan yang dipaparkan mendekati hati masyarakat Melayu.

Antara pengaruh Hantu Kak Limah yang me­ninggalkan kesan di hati penonton ialah lagu iklan minuman kotak Joy pada tahun 1980-an. Ia kembali menjadi siulan selepas seorang pelakonnya, Ropie menyanyikan lagu itu dalam salah satu adegan filem tersebut.  

Filem itu juga menjadi hiburan untuk melepaskan tekanan kerja. Ada penonton yang mengaku dia menonton Hantu Kak Limah sekadar untuk mengurangkan stres dengan ketawa di dalam panggung wayang.

Hidup menjadi bosan tanpa ketawa. Terdapat ungkapan yang menyatakan ketawa itu adalah penawar duka. Ada juga yang percaya ketawa adalah terapi yang mampu mengubat ketegangan atau tekanan.

Sering ketawa juga dikatakan mampu menghindari pelbagai penyakit berbahaya termasuk kanser, kencing manis dan sakit jantung.

Seorang penonton yang duduk di sebelah penulis ketawa terbahak-bahak ketika menonton salah satu adegan filem itu di sebuah panggung wayang.

Sel-sel otak penonton itu mungkin melepaskan bahan kimia tertentu yang dikenali sebagai endorfin ketika ketawa dan membawa lebih banyak oksigen ke dalam badan serta otak bagi menjadikannya lebih bertenaga dan tenang.

Kebaikan ketawa juga mendapat perhatian daripada ramai tokoh-tokoh dunia. Antaranya seorang penyair Britain, mendiang Lord Byron.

Byron pernah berkata bahawa ketawalah seberapa kerap yang boleh kerana ia merupakan ubat yang paling murah. Terdapat juga senaman yoga yang pesertanya dikehendaki ketawa de­ngan tujuan untuk membawa lebih banyak oksigen ke dalam badan dan otak.

Bengkel mengenai terapi ketawa juga pernah dianjurkan di negara ini bagi meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan stres. Bagaimanapun, bukan senang untuk membuatkan orang ramai ketawa. 

Justeru, filem Hantu Kak Limah merupakan hasil garapan kreatif daripada pengarahnya untuk membuatkan penonton ketawa di dalam panggung wayang.  

Sebelum ini filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah juga arahan Mamat yang ditayangkan pada tahun 2010 mencatatkan kutipan tiket sebanyak RM7.9 juta.

Namun, kejayaan Hantu Kak Limah yang menjadi filem terlaris di Malaysia membuktikan genre komedi seram jika digarap dengan betul mampu menjadi No. 1 di negara ini.