Ada yang berpendapat Tunku Mahkota Johor itu tidak wajar ‘angkat kaki’ le­bih awal. Bagi mereka, Tunku Ismail masih mampu mengubah landskap bola sepak Malaysia sekalipun prestasi skuad Harimau Malaya ketika ini cukup tenat.

Tidak kurang juga ada yang mahu Tunku Ismail melepaskan jawatannya ekoran keputusan buruk Harimau Malaya yang gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir.

Berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa Dunia (FIFA), Harimau Malaya menjunam di tangga ke-178 dunia – kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Kemerosotan itu dipercayai menjadi antara sebab Tunku Ismail mengundur diri daripada menduduki kerusi Presiden FAM berkuat kuasa Ahad lalu. Tunku Ismail meme­gang jawatan itu selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac 2017.

Persoalannya kini, siapa yang lebih layak untuk mengambil alih kerusi yang ditinggalkan Tunku Ismail? Tunku Ismail pula secara terbuka menyifatkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sebagai individu paling la­yak menggantikannya. 

Namun, kala­ngan pemerhati dan peminat bola sepak tempatan sudah mula ‘berkira-kira’ mengenai calon yang sepatutnya mengambil tempat Tunku Ismail. Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti Tunku Ismail.

Antara calon paling hangat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air­Asia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes. Tony bukan ­asing dalam arena bola sepak ke­rana beliau merupakan pemilik kelab England, Queens Park Rangers (QPR) dan PJ Rangers yang kini bersaing dalam kancah Liga FAM.

Bagi penulis, kekangan tugas Tony ketika ini mungkin menjadi penyebab bos Air­Asia itu sukar untuk menggalas tugas di FAM. Bukan penulis sengaja mahu menidakkan kemampuan dan kredibiliti Tony tetapi itulah hakikatnya.

Secara peribadi, penulis berpendapat FAM memerlukan individu berkaliber dan berpengaruh untuk menerajui badan induk itu. Individu yang bakal dilantik sebagai orang No. 1 FAM itu juga haruslah mempunyai misi dan visi yang jelas.

Paling penting, individu itu mempunyai hubungan baik dengan ahli-ahli gabu­ngan FAM selain Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta mampu menarik peng­libatan para penaja. Dalam hal itu, penulis melihat Hamidin sebagai calon terbaik buat masa ini.

Pengalaman serta penglibatan Hamidin dalam sukan bola sepak sudah cukup lama. Penulis sendiri mula mengenali Hamidin ketika beliau menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Se­langor (FAS) kira-kira 13 tahun lalu.

Populariti Hamidin bukan kerana beliau ahli politik atau seorang tokoh korporat. Sebaliknya, beliau lebih dikenali kerana pembabitannya dalam mentadbir FAS selama 12 tahun bermula dengan jawatan Setiausaha Eksekutif FAS pada 1 Ogos 1995 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS (1 Januari 1998).

Sebelum secara rasmi memikul tugas Setiausaha Agung FAM pada 27 Jun 2013, Hamidin juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Penganjur Piala Dunia Remaja 1997 di Kuala Lumpur, Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (1996-2001), Pengerusi Jawatankuasa Logistik Piala Asia 2007 serta Pengerusi Jawatankuasa Protokol, Sambutan dan Penginapan Pesta Bola Merdeka ke-39.

Pengalaman itu sudah cukup membuktikan Hamidin bukanlah individu asing yang perlu merangkak sebelum dapat melaksanakan tugas yang diberikan. Pengalaman itu sudah cukup menjadi bukti betapa beliau sebagai calon terbaik untuk menggalas tugas sebagai Presiden FAM yang baharu.