Pelajar terbabit difahamkan anak saudara kepada kedua-dua lelaki terbabit. Kedua-dua lelaki itu telah ditahan polis Isnin lalu ketika hadir ke balai polis ekoran laporan yang dibuat guru berkenaan.

Menerusi video yang tular berdurasi tiga minit 31 saat itu turut menyaksikan lelaki tersebut bertindak memarahi guru terbabit di pekarangan sekolah dan cuba mengheretnya ke luar kawasan sekolah dengan alasan untuk menyelesaikan masalah.

Tidak cukup dengan itu, guru tersebut dimaki serta ‘disentuh’ salah seorang lelaki sambil mendakwa guru itu menyumpah seranah iste­rinya.

Kejadian kekasaran fizikal dan mental ini bukanlah kali pertama melibatkan kerjaya seorang guru yang selama ini amat dihormati oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Malah, ada yang lebih teruk seorang guru wa­nita diserang bapa seorang pelajar yang memarahi dan membaling buku-buku dan alatan mengajar ke arahnya di bilik guru di salah sebuah sekolah di Johor pada tahun 2016.

Nampaknya, di akhir-akhir ini khidmat seorang guru tidak lagi disanjung dan dihormati.

Tidak seperti di era 1960-an, 1970-an dan 1980-an dahulu, kerjaya sebagai guru amat dipandang tinggi oleh masyarakat tanpa mengira usia.

Jika satu ketika dahulu, ibu bapa atau penjaga lebih percayakan kata guru daripada anak sendiri, kini ia berubah sama sekali dan disebabkan itu, peranan guru bagaikan dipandang sebelah mata sahaja.

Sepatutnya, perkara ini tidak harus terjadi memandangkan fungsi seorang guru bukan sahaja mengajar dalam kelas, tetapi juga mendidik sahsiah pelajar ke arah lebih baik.

Seorang rakan penulis menceritakan, ketika bersekolah rendah pada awal 1980-an dahulu, dia pernah melanggar disiplin sekolah dan dihukum rotan oleh guru.

Dia tidak berani memberitahu orang tuanya mengenai perkara itu kerana tahu akan dimarahi dan dirotan sekali lagi kerana tidak mendengar kata guru.

Begitulah ibu bapa pada zaman itu mendidik anak, tidak seperti sesetengah dalam kalangan mereka yang se­ring menyalahkan guru jika berlaku perkara yang tidak baik atas anak ­kesayangan mereka.

Hasilnya, jadilah peristiwa menyerang dan memaki guru kerana terlalu percaya dan memanjakan anak hingga tidak boleh disentuh langsung.

Janganlah kita mempersoalkan kewibawaan seorang guru kerana tidak mungkin mereka mem­biarkan pelajar terus membuat kesilapan dan ke­salahan tanpa mengambil sebarang tindakan.

Sebagai ibu bapa, sepatutnya dapat berbincang dengan cara yang baik dan tidak perlu menyerang guru sama ada di luar atau dalam kawasan sekolah kerana ia mencerminkan akhlak yang rosak.

Jika ini keadaannya, memang benar kebanyakan anak zaman sekarang berperangai kurang ajar kerana ia diwarisi daripada segelintir ibu bapa yang rosak akhlaknya.

Patutlah ramai pelajar pada zaman ini besar kepala kerana segelintir mereka sudah tidak menghormati institusi pendidikan negara.