Bahaya lain yang menanti pengunjung gua seperti kegelapan, terjatuh, ditimpa objek, banjir, penyakit dan ancaman binatang berbisa seperti labah-labah dan ular. Dalam erti kata lain, eksplorasi gua bukanlah aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak.

Pada 23 Jun lepas, jurulatih pasukan bola sepak remaja Moo Pa (Babi Hutan), Ekapol Chanthawong, 25, membawa 12 ‘anak buahnya’ meneroka Gua Tham Luang selepas sesi latihan bola sepak. Mereka hilang semasa hujan turun ekoran tidak dapat keluar dari gua itu yang dimasuki air banjir. Rangkaian gua sepanjang 10 kilo­meter itu yang terletak di banjaran Doi Nang Non, wilayah Chiang Rai, dipercayai gua terpanjang di Thailand.

Ruang masuk gua batu kapur itu sebesar dewan dan dihiasi batu di samping unjuran stalagmit dan stalagtik yang bersinar disuluh cahaya. Menurut media Thailand, belum ada pelancong dan penjelajah yang berjaya meneroka gua itu sepenuhnya ekoran berdepan kegelapan dan pelbagai halangan yang menanti di dalamnya.

Kumpulan kanak-kanak lelaki itu juga bukan yang pertama hilang di gua berkenaan. Terdapat kejadian serupa di Gua Tham Luang melibatkan kanak-kanak sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak mendapat liputan meluas seperti yang berlaku sekarang.

Menurut seorang penjelajah gua, perkara paling utama dalam aktiviti meneroka gua adalah melakukan persediaan secukupnya, manakala kumpulan pasukan bola sepak dan jurulatih tersebut dikatakan tidak membuat persediaan rapi ketika meneroka Gua Tham Luang.

Mereka tidak memakai peralatan sepatutnya seperti topi keledar, membawa berbilang sumber cahaya se­perti lampu suluh, memakai but dan membawa bekalan makanan serta minuman tambahan di samping pakaian sesuai. Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu dan jurulatih mereka boleh dianggap menerima tiga keajaiban di sebalik situasi hampir mustahil yang melanda mereka.

Pertama, semua 13 orang itu masih hidup walaupun berhari-hari terperangkap di dalam gua yang gelap-gelita tanpa bekalan oksigen mencukupi dan tanpa seorang pun ditimpa kemalangan atau diserang hipotermia.

Kedua, pasukan penyelamat berhasil menemui mereka di sebalik laluan berselerak, berliku, sempit, berbatu dan berlumpur sejauh 4 kilometer di dalam gua berkenaan selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan. Ketiga, operasi membawa keluar mereka ber­akhir dengan kejayaan kelmarin apabila empat daripada 12 budak lelaki berkenaan akhirnya dapat kembali melihat cahaya matahari walaupun operasi menyelamat sebelum ini dianggap sebagai hampir mustahil kerana pelbagai risiko, satu daripadanya ialah mereka didapati tidak pandai berenang, jauh sekali menyelam.

Laluan dari tempat mereka ditemui di atas sebuah tebing batu itu memakan masa lima jam perjalanan termasuk menyelam, merangkak dan berjalan kaki dan lima jam lagi diperlukan untuk perjalanan pulang. Dalam erti kata lain operasi menyelamat yang dilancarkan adalah antara paling rumit dan berbahaya di dunia. Seorang bekas penyelam terlatih dan berpengalaman tentera laut Thailand turut terkorban semasa operasi menyelamat di gua itu.

Pada hemat penulis, insiden di Gua Tham Luang berlaku kerana jurulatih bola sepak berkenaan memandang mudah cabaran alam semula jadi ekoran pernah meneroka gua tersebut sebelum ini. Walaupun bukan menyalahkan sesiapa, sebagai orang dewasa dia sepatutnya lebih tahu tentang baik-buruk aktiviti tersebut.