Itulah peribahasa yang amat sesuai ditujukan kepada golongan terpelajar dan profesional di negara ini yang bernasib malang menjadi mangsa penipuan sindiket scam yang semakin berle­luasa.

Hampir setiap hari, akhbar dan televisyen melaporkan terdapat segelintir mereka yang cerdik pandai dan berjawatan tinggi seperti doktor, jurutera, pensyarah, guru serta pegawai kanan kerajaan telah ditipu dengan mudah oleh sindiket berkenaan.

Kebanyakan mangsa kes penipuan tersebut yang turut dikenali sebagai Macau Scam, Love Scam dan Ponzi Scam itu terpaksa menanggung kerugian besar sehingga mence­cah ratusan ribu ringgit.

Pada tahun lalu, jumlah kerugian yang dicatatkan akibat jenayah penipuan tersebut adalah kira-kira RM4.2 bilion.

Sindiket licik penipuan tersebut menjalankan modus operasi dengan memperdaya mangsa hanya menerusi panggilan telefon, WhatsApp dan e-mel.

Mereka begitu mudah menipu mangsa dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa daripada Polis Diraja Malaysia, kastam, Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN), Bank Negara, institusi kewangan dan mahkamah.

Golongan profesional dan terpelajar itu sepatutnya bijak membuat penilaian selepas menerima panggilan dan WhatsApp yang diterima daripada nombor-nombor yang pelik dan tidak dikenali.

Apatah lagi, mereka juga didakwa terlibat dengan ke­salahan-kesalahan yang tidak logik seperti pengubahan wang haram, gagal membayar pinjaman bank, gagal menjelaskan cukai pendapatan, ra­suah dan sebagainya.

Akhbar baru-baru ini me­laporkan, seorang doktor wanita berusia 26 tahun menjadi mangsa Macau Scam pada pertengahan bulan lalu dengan kerugian kira-kira RM270,000.

Doktor muda tersebut dikatakan menerima panggilan seorang lelaki yang menya­mar sebagai pegawai LHDN dan mendakwa wanita tersebut terlibat dengan kes penipuan cukai.

Mangsa yang panik dan percaya dengan dakwaan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang anggota polis sebelum diminta memberikan username dan kata laluan akaun bank miliknya.

Selain itu, akhbar sebelum ini juga banyak melaporkan terdapat wanita berkerjaya dan belum berkahwin walaupun lanjut usia ditipu oleh sindiket Love Scam selepas terpedaya dengan ‘ayat-ayat cinta’ daripada sindiket penipuan tersebut.

Pada saat-saat bercinta itu, wanita yang kesunyian itu sanggup meminjamkan wang bukan puluhan ribu, malah ratusan ribu ringgit kepada ‘kekasihnya’ yang mendakwa menghadapi masalah ke­wangan.

Penulis sebelum ini pernah menemu ramah mangsa Love Scam iaitu seorang ustazah berusia 45 tahun yang mengajar di sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan.

Ustazah yang masih bujang itu memberitahu bahawa dia telah jatuh hati kepada seorang lelaki dari luar negara selepas tiga bulan bercinta dan tergoda dengan janji-janji manis lelaki berkenaan menerusi e-mel.

Malah, wanita itu juga menerima hadiah-hadiah yang menarik daripada kekasihnya yang kacak dan berbadan sado berdasarkan gambar yang diberikan.

Ustazah itu kemudian sanggup meminjamkan wang sebanyak RM100,000 yang diberikan secara berpe­ringkat-peringkat selepas kekasihnya itu mengadu ke­sempitan wang untuk me­rawat ibunya yang menerima rawatan di hospital swasta kerana penyakit kanser.

Ini adalah antara contoh kegiatan scam yang berleluasa di negara ini membabitkan mangsa dalam kalangan profesional dan terpelajar.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran dan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa, namun ke­giatan penipuan tersebut masih tidak dapat dibendung sepenuhnya.

Sikap tidak ‘cakna’ masyarakat terhadap isu-isu jenayah yang berlaku di sekeliling mereka merupakan antara sebab ramai rakyat di negara menjadi mangsa sindiket penipuan tersebut.