Buktinya, filem yang diinspirasikan pengorbanan sebenar anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM ini berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM16 juta dalam tempoh 11 hari tayangannya.

Angka ini cukup besar bagi sebuah filem aksi ketenteraan tempatan kerana beberapa filem genre sama sebelumnya hanya mendapat sambutan suam-suam kuku.

Paskal ditubuhkan pada tahun 1982 dengan fungsi melaksanakan operasi melawan keganasan terhadap kapal-kapal dagang, kapal TLDM serta pelantar minyak. Kepakaran utama mereka adalah dalam pertempuran dan operasi amfibia sesuai dengan tugas-tugas TLDM.

Paskal bukan satu-satunya pasukan khas yang dimiliki oleh negara, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dua lagi pasukan komando ini ialah Gerup Gerak Khas untuk Tentera Darat dan Pasukan Khas Udara (Paskau) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia.

Masing-masing memiliki kepakaran, kemahiran dan ke­upayaan tempur yang sama tetapi untuk misi yang berbeza.

Sebuah lagi unit elit Tentera Darat ialah Pasukan 10 Briged Para atau Pasukan Aturgerak Cepat(PAC). Mereka merupakan pasukan payung terjun atau Airborne yang boleh diatur gerak dengan pantas secara kaedah hantaran udara untuk melaksanakan operasi konvensional.

Berbeza dengan pasukan komando, PAC yang dikenali de­ngan beret berwarna merun beroperasi dalam ketumbukan besar dengan sokongan artileri, kenderaan perisai dan pasukan sokongan lain.

Filem Paskal dibarisi pelakon biasa-biasa seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit dan Jasmine Suraya Chin. Kini, filem berkenaan ditayangkan pula di Brunei dan Singapura.

Menerusi filem ini, umum dapat tahu secara terperinci bagaimana pelaksanaan Ops Fajar 8 di Teluk Aden pada tahun 2011 membebaskan kru kapal dagang negara, MV Bunga Laurel yang cuba dirampas lanun Somalia. Walaupun berita kejayaan operasi TLDM dan Paskal ini menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan ketika itu, tetapi jujurnya tidak ramai rakyat yang ambil kisah.

Kejayaan Ops Fajar sebenarnya turut dilaporkan akhbar-akhbar luar negara, manakala misi Paskal ini turut dikaji oleh unit-unit elit negara lain sebagai salah satu taktik operasi anti lanun yang berkesan.

Seramai 18 lanun yang terbabit dalam serangan itu menye­rah diri. Tujuh lanun menaiki MV Bunga Laurel manakala 11 lagi di kapal induk mereka.

Tindakan pantas Paskal telah menghalang daripada kerugian bernilai anggaran RM30 juta dan 23 anak-anak kapal Fi­lipina yang menaiki kapal terselamat.

Karyawan Hollywood sejak sekian lama telah menggunakan medium filem bagi membanggakan kehebatan tentera mereka tapi adakalanya ia digambarkan secara berlebih-le­bihan.

Filem Lone Survivor arahan Peter Berg pada tahun 2013 misalnya garapan daripada misi anggota pasukan khas US Navy SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat diserang hendap Taliban di Afghanistan pada tahun 2007. Dalam filem ini, empat anggota US Navy SEAL dipaparkan berjuang penuh dramatik sehingga ke titisan darah terakhir. Fakta sebenar, misi berkenaan gagal apabila 19 anggota komando terkorban.

Filem American Sniper arahan Clint Eastwood pada tahun 2014 yang mengangkat watak Chris Kyle, jaguh penembak tepat US Navy SEAL turut dipertikaikan umum. Kyle direkodkan menembak mati 255 musuh sepanjang bertugas di Iraq, tetapi angka itu diragui.

Kejayaan Paskal membuktikan filem aksi ketenteraan tempatan boleh pergi jauh dalam industri perfileman asalkan di­arah dengan sempurna, kreatif dan plot ceritanya logik.