Penghuni syurga menyesal kerana tidak dapat menghuni jannah paling atas lantaran kekurangan amal manakala ahli neraka menyesal ekoran tidak menurut perintah Tuhan.

Menyesal juga merupakan syarat utama untuk seseorang itu bertaubat selain rasa bersalah dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Jika memandu, kita akan menyesal sekiranya memilih jalan yang sesak sedangkan ada beberapa laluan lain yang boleh diambil walaupun ia jauh.

Seorang bapa akan menyesal sekiranya dia me­ngahwinkan anak daranya dengan lelaki yang salah.

Dalam politik, pengundi akan menyesal sekiranya wakil rakyat yang dipilih itu tidak membela nasib mereka. Jika yang dipangkah itu mengotakan janji, maka untunglah hidup untuk lima tahun lagi namun jika sebaliknya nak menangis pun sudah tiada guna.

Maka tepatlah kata bidalan ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’. Ternyata peribahasa itu masih relevan pada zaman sekarang.

Ketika api Pilihan Raya Umum ke-14 sedang membahang sekitar April dan Mei tahun lalu, gelombang membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berdasarkan persepsi jahat yang dicipta pihak tertentu ketika itu begitu kuat.

Kesannya dapat dilihat pada setiap berita ataupun hantaran di laman sosial Facebook, Twitter atau ce­ramah-ceramah politik BN.

Tiada langsung komen positif yang diterima. Maki hamun mengiringi hantaran yang dibuat walaupun ia mengenai kebaikan untuk rakyat sendiri.

Bagaimanapun, BN hanya memandang sepi situasi itu. Parti itu terus mengetepikan amaran akar umbi terutamanya golongan muda mengenai natijah yang akan dihadapi jika masih bersifat bodoh sombong.

Ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan antara punca utama kekalahan BN adalah mengetepikan pandangan golongan muda.

BN pasti menyesal selepas kalah teruk. Bagaima­napun, pujian harus diberikan kerana mereka kini kembali mengorak langkah untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.

Kekesalan itu kini merebak pula kepada masyarakat yang ketika PRU-14 lalu mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana terpesona dengan manifesto manis ciptaan DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat.

Pengundi tidak mahu tahu pasal bayaran royalti minyak, kereta nasional ketiga atau terowong bawah laut. Apa yang orang inginkan ialah harga minyak turun RM1.50, tol dan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dihapuskan serta kos sara hidup menjadi rendah.

Persepsi cukup belanja RM50 untuk penuhkan satu troli pasar raya umpama bermimpi pada siang hari. Hakikatnya kini ramai yang merungut barang makin mahal.

Masyarakat sudah muak dengan pelbagai putar belit dan hanya mahu apa yang diperkatakan dalam manifesto itu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan seperti yang dijanjikan.

Lebih parah semenjak bertukar kerajaan, banyak golongan yang dahulunya tersembunyi kini semakin berani memunculkan diri. Lebih mendukacitakan, ada pula orang yang berani menghina Nabi Muhammad SAW secara terbuka di media sosial.