Di laman-laman sosial terutama di Facebook, rata-rata ibu bapa mempunyai pelbagai cara untuk memastikan anak-anak mereka berjaya dalam ujian tersebut yang menetapkan pelajar perlu memahami konsep pembelajaran kemahiran aras tinggi.

Mereka hanya mengambil enam subjek iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris Pemahaman, Bahasa Inggeris Penulisan, Matematik dan Sains.

Hakikatnya, UPSR merupakan peperiksaan berpusat peringkat pertama yang akan menentukan haluan masa depan pelajar sebelum mereka menempuh alam persekolahan peringkat menengah nanti.

Namun bukanlah suatu yang pelik apabila ramai pula ibu bapa yang beranggapan, jangan dikisahkan sangat akan hasil keputusan UPSR kerana anak-anak mempunyai banyak masa iaitu lima tahun untuk mengejar kecemerlangan di sekolah menengah sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia merupakan pemikiran yang salah. Ia juga sudah terlambat.

Percayalah bagi ibu bapa yang bersikap sambil lewa atau mudah patah hati kerana menyedari aras sebenar intelektual anak-anak masing-masing, anda sebenarnya lupa pepatah orang Melayu iaitu melentur buluh biarlah daripada rebung.

Makin berumur anak anda, makin susah hendak dibentuk. Asas-asas untuk me­nimba kecemerlangan perlu di­asuh sejak sekolah rendah lagi.

Di peringkat pengurusan pendidikan sendiri, penulis adakalanya berpendapat, mereka turut memiliki pemikiran yang salah. Mereka tidak mahu pelajar yang cemerlang peringkat sekolah rendah ini diraikan di pentas sekolah.

Apa salahnya memperuntukkan masa kira-kira sejam atau dua jam meraikan pelajar ini di pentas iaitu semasa keputusan UPSR sekolah diumumkan asalkan ia tidak melampaui batas?

Pada penulis, tidak ada salahnya.

Hidup ini, kalau banyak berfikiran negatif terhadap sesuatu perkara, maka segala-gala yang dibuat akan menjadi salah.

Dengan tidak meraikan pelajar cemerlang ini, kita sebenarnya menutup jalan, emosi dan rasional ibu bapa lain serta anak-anak untuk mendapat rangsangan supaya mereka turut sama menyertai usaha bagi mencapai kecemerlangan.

Kadangkala penulis tidak faham. Kenapa acara meraikan pelajar cemerlang ini pun disakiti? Penulis tertanya-tanya mengapa isu mudah itu perlu dilihat dengan begitu amat kompleks. Pernahkah ada murid sekolah yang bunuh diri ketika mereka melihat pelajar cemerlang naik ke atas pentas untuk diraikan seketika?

Atau kita ini termasuklah dalam kategori mereka yang tidak sanggup melihat anak orang lain cemerlang sebab anak kita tidak cemerlang?

Kalau begitulah yang difikirkan, betullah sistem pendidikan di negara ini membosankan budak-budak pintar.

Menurut Pengarah Pusat Permata Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak, kira-kira 60 hingga 65 pelajar pintar Malaysia ber­hijrah ke luar negara setiap tahun untuk melonjakkan pontensi diri mereka.

“Sistem pendidikan banyak menghafal untuk peperiksaan tetapi kebanyakan pelajar pintar tidak suka menghafal, dia cepat bosan,” katanya.

Malah lebih mengejutkan, Malaysia hanya memiliki sebuah Pusat Permata Pintar berbanding Vietnam yang mempunyai 22 buah pusat pendidikan khas tersebut. Itupun, Pusat Permata Pintar dipolitikkan sampai tak masuk akal.

Terimalah hakikat, sistem pendidikan kita jauh ketinggalan berbanding Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Singapura apatah lagi Finland apabila kita takut untuk meraikan pelajar cemerlang di pentas atas alasan remeh.