Video yang menjual imej lucah untuk meraih popula­riti memang segera mencapai matlamat akhirnya iaitu mendapat perhatian netizen di instagram.

Berdiri atas status seorang usahawan yang menjadi idola ramai kerana kejayaan bisnesnya, video-video seperti itu hakikatnya disaksikan netizen daripada pelbagai latar belakang termasuklah remaja dan kanak-kanak.

Lantas, tidak hairanlah ia cepat mendapat kecaman masyarakat termasuklah selebriti lain dan lebih teruk lagi, Aliff ditegur ibu sendiri, Rozita Ibrahim. 

Tidak berhenti di situ, taktik melariskan perniagaan atau meningkatkan jumlah pengikut di instagram dengan imej lucah itu turut menjadi pilihan segelintir individu lain.

Malam kelmarin sewaktu sedang melayari instagram, penulis terkejut melihat satu video seorang wanita yang tanpa segan silu mengaitkan makanan sosej dengan alat kemaluan lelaki Melayu yang didakwanya bersaiz kecil dan menyedihkan.

Video wanita itu lantas de­ngan cepat mendapat kutukan ramai orang, apatah lagi wa­nita tersebut tampil de­ngan imej bertudung.

Namun, misi wanita itu untuk mempopularkan diri dan produknya berjaya.

Ternyata, lewat kebelaka­ngan ini, laman sosial membuatkan masyarakat kita semakin pening, keliru dan songsang.

Betapa kebatilan telah menelan dan memakan kebenaran.

Masyarakat berlumba-lumba menjadi juara. Mencari populariti di laman sosial se­perti instagram atas pelbagai tujuan terutamanya membuat duit cara mudah.

Jika suatu masa dahulu, kebanyakan orang menganggap memiliki akaun Instagram atau saluran YouTube sebagai sekadar satu platform mengemas kini diari kehidupan, siapa sangka ia kini lubuk membuat duit.

Jika anda mempunyai pengikut lebih 100,000 apatah lagi jika mencecah jutaan pengikut, anda sudah boleh memegang status instafamous.

Berbekal status itu, si instafamous bagaikan mendapat lesen untuk membuat reviu pelbagai jenis produk.

Kejayaan beberapa ramai selebriti seperti pelakon atau penyanyi yang berupaya mendapat bayaran ribuan ringgit untuk satu rebiu menyebabkan hampir semua orang mahu menjadi instafamous.

Lantas, tanpa status bintang, bagi orang kebanyakan, mereka perlu menonjolkan kelebihan dan keunikan untuk meraih perhatian netizen lain.

Maka ada yang tampil selaku ikon fesyen, ada yang menjadi guru solekan atau tukang parodi.

Namun, dalam peperangan mengumpul pengikut ini, bukan sedikit yang tanpa malu akhirnya menjual imej lucah dan gaya hidup songsang.

Ada yang tampil luar biasa seksi atau memuat naik video-video menggiurkan.

Lebih buruk tidak kurang juga lelaki jadian yang baru mengenal dunia berlumba-lumba menampil gaya hidup keterlaluan mereka.

Mereka bersolek dan berpakaian seksi dengan membuat parodi tarian lucah tanpa memikirkan kesannya dalam masyarakat.

Peliknya, masyarakat netizen walaupun dalam cemuh dan keji tetap menjadi pengikut untuk mengetahui perkembangan instafamous tersebut.

Perbuatan itulah me­lonjakkan pengikut mereka sehingga mencecah ratusan ribu.

Lantas penulis teringat satu nukilan seorang pengacara TV Al-Hijrah yang juga bekas ahli kumpulan nasyid Unic, Ahmad Fadzli Abd. Aziz. 

Orang dahulu popular sebab buat benda baik, orang sekarang popular bila buat benda jahat. Orang dahulu popular kerana ilmu, orang sekarang popular kerana buat perkara bodoh, orang dahulu popular kerana taat agama, orang sekarang popular kerana me­lawan Tuhan.