Tambahan pula golongan yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Sekolah hanya akan kembali beroperasi pada hari Isnin, 25 Jun depan, justeru ada yang dijangka kembali ke ibu kota sama ada menjelang esok atau setidak-tidaknya paling lewat, lusa.

Bercerita tentang balik kampung dan kembali ke ibu kota sempena Aidilfitri, saban tahun, sudah tentu isu tentang kesesakan lalu lintas akan berbangkit.

Berdasarkan pengalaman sendiri memandu kereta untuk pulang beraya di kampung halaman di Melor, Kota Bharu, Kelantan pada tahun ini, penulis yang mula bercuti pada 13 Jun iaitu dua hari sebelum Aidilfitri membuat jangkaan klise pasti akan menghadapi ke­sesakan lalu lintas yang sangat teruk.

Sementelah penulis merupakan pengguna setia Laluan Persekutuan menerusi laluan Gua Musang untuk ke Melor sejauh 423 kilometer (km) yang secara standard hanya mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai ke destinasi jika tanpa kesesakan lalu lintas.

Penulis akui tidak pernah pulang ke Kelantan menggunakan Le­buh Raya Pantai Timur (LPT) menerusi laluan Terengganu.

Ini kerana selain jaraknya lebih jauh iaitu 559km dengan jangkaan standard untuk sampai ke kampung penulis adalah kira-kira tujuh jam tanpa kesesakan lalu lintas, pelbagai cerita negatif tentang LPT seperti kemalangan yang kerap berlaku menyebabkan penulis bertekad untuk kali ini tetap pulang beraya menerusi laluan Gua Musang.

Seperti kebiasaan, penulis hanya akan bertolak ke Kelantan selepas solat Subuh, menjelang pukul 6 pagi. Biarpun kesesakan lalu lintas mulai ketara di Lebuh Raya Karak menuju Tol Karak akibat jumlah kenderaan yang banyak, namun disebabkan sudah menjangka, penulis masih boleh bersabar.

Namun selepas melalui Tol Karak penulis mendapati Laluan Persekutuan ke Bentong sudah sesak dengan kenderaan yang langsung tidak bergerak. Penulis sudah tidak boleh bersabar lagi.

Sementelah selepas mengesan kesesakan lalu lintas yang panjang sepanjang lebuh raya tersebut menerusi aplikasi pandu arah Waze, penulis lantas membatalkan niat untuk menggunakan laluan tersebut dan meneruskan pemanduan buat pertama kalinya menerusi LPT yang sebaliknya lancar tanpa kesesakan lalu lintas.

Dipendekkan cerita, dengan menghadapi sedikit kesesakan lalu lintas di laluan Terengganu, penulis akhirnya sampai ke destinasi menjelang pukul 3 petang iaitu mengambil tempoh selama lapan jam. Lebih menarik, pada tarikh tersebut, penulis mendapat diskaun tol sebanyak 50 peratus.

Namun untuk kembali ke Kuala Lumpur pada hari raya kelima ia­itu 19 Jun 2018, penulis memilih laluan Gua Musang dengan bertolak pada pukul 8 pagi dan sampai ke destinasi menjelang pukul 3 petang iaitu selama tujuh jam perjalanan disebabkan sedikit kesesakan lalu lintas di Raub dan di Tol Karak.

Bagaimanapun rakan penulis yang bertolak pada tarikh yang sama tetapi memulakan perjalanan dari Kelantan pada pukul 2 petang khabarnya ‘menderita’ kerana terpaksa mengambil masa 17 jam untuk sampai ke KL disebabkan kesesakan yang teruk ter­utamanya di sekitar Kuala Krai, Kelantan dan di sepanjang Lebuh Raya Karak.

Sebenarnya tiada formula tertentu bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kesesakan lalu lintas semasa pulang beraya di kampung terutama Kelantan.

Cuma berdasarkan pengalaman penulis, khususnya untuk pulang ke KL menerusi laluan Gua Musang, bagi mengelakkan kesesakan yang teruk, perlu bertolak awal sebelum bandar seperti Kuala Krai ‘bernyawa’ yang bermakna pemandu kenderaan perlu melalui bandar tersebut paling lewat menjelang pukul 10 pagi sebelum ia dipenuhi khususnya kenderaan dan aktiviti penduduk sekitar bandar itu.

Justeru, bagi yang pulang dari kampung masing-masing ke KL pada hari esok dan lusa, penulis ucapkan semoga semuanya selamat sampai ke destinasi masing-masing dan bijak dalam mengatur jadual perjalanan bagi mengelakkan ‘penderitaan’ menghadapi ke­sesakan lalu lintas yang teruk.