Peristiwa menyayat hati yang mengorbankan 50 orang Islam termasuk seorang rakyat Malaysia dan mencederakan sejumlah yang lain ketika bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat menyebabkan Perdana Menteri ke-40 New Zealand itu tiba-tiba menjadi tumpuan lensa dunia.

Pernah menarik perhatian dunia dengan pengumuman kehamilannya selepas dua bulan pertama mentadbir negara, kali ini bukan kisah peribadinya yang menjadi topik perbualan.

Di media massa, kredibiliti pemimpin wanita termuda dunia dan di New Zealand dalam tempoh 150 tahun itu menjadi tajuk utama. Di media sosial pula, ma­sing-masing melakukan hantaran klip video ucapan-ucapan Ardern dengan pelbagai komen yang mengagumi sosok wanita setinggi 1.65 sentimeter itu.

Kekaguman masyarakat dunia semakin memuncak apabila anak kepada pegawai polis, Ross Ardern itu menterjemahkan empatinya terhadap umat Islam dengan memakai pakaian serba hitam serta berselendang ketika menyantuni keluarga mangsa.

Entah mengapa dunia seakan-akan ‘tersihir’ dengan kebijaksanaan Ketua Parti Buruh itu meng­uruskan krisis keganasan terburuk yang disifatkan Ardern sebagai ‘Hari Gelap’ New Zealand.

Apakah kelebihan wanita kelahiran Hamilton, New Zealand itu sehingga berjaya ‘mencairkan’ hati jutaan penduduk dunia terutama umat Islam? Jawapannya adalah kualiti kepimpinan dan intuisinya sebagai wanita.

Menyantuni keluarga mangsa, menyebarkan salam, membenarkan azan solat Jumaat berkumandang secara langsung di stesen radio dan televisyen di seluruh New Zealand serta memetik ha­dis Nabi dalam ucapannya, Ardern sesungguhnya telah meletakkan satu tanda aras yang cukup tinggi sebagai seorang pemimpin.

Ketegasan dan keberaniannya memerangi keganasan begitu luar biasa. Enam hari selepas berlakunya tragedi terburuk di negara yang berpopulasi 4.8 juta orang itu, isteri kepada peng­acara televisyen, Clarke Gayford itu mengumumkan untuk me­nguatkuasakan undang-undang mengharamkan penjualan senjata raifal dan separa automatik yang bakal dikuatkuasakan pada 11 April ini.

Ia cukup berbeza dengan pendirian pemimpin sesetengah negara termasuklah Amerika Syarikat. Walaupun tragedi pembunuhan berlaku hampir setiap tahun di negara Uncle Sam itu, pemimpinnya masih gagal menemui sebarang solusi.

Meskipun Ardern masih ‘hijau’ mentadbir negara kerana tempoh pentadbirannya belum pun mencecah dua tahun, namun graduan lulusan University of Waikato itu dianggap lulus ‘ujian terbesar’ sebagai seorang pe­mimpin di negara yang dianggap paling aman di dunia.

Menerima ugutan bunuh melalui media sosial selepas lima hari bertungkus-lumus ‘menguruskan’ tragedi berdarah di negaranya, Ardern sedikit pun tidak goyah. Sebaliknya, beliau mengarahkan pula satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk bagi meneliti serangan pengganas itu.

Muncul sebagai srikandi yang menyelamatkan dunia melalui mesej keamanannya, bangunan ikonik Dubai, Burj Khalifa mena­yangkan imej Ardern berselendang dan sedang memeluk seorang wanita bersama perkataan bahasa Arab, salam yang bermaksud ‘keamanan’ sebagai tanda sokongan kepadanya.

Ketika dunia tandus dengan pemimpin yang telus, Ardern muncul bak sebutir bintang yang bersinar di langit yang gelap. Ternyata, musibah yang berlaku seminggu selepas sambutan Hari Wanita Sedunia itu tersirat rahmat.

Hari ini, benih kasih sayang dan fenomena Jacindamania tumbuh subur bukan saja di bumi New Zealand bahkan ia telah bercambah ke dalam hati 1.5 bilion umat Islam di seluruh pelusuk dunia dan mereka yang benar-benar mencintai keamanan dan kedamaian.

Tragedi di Christchurch sarat dengan pengajaran. Ia bukan sekadar kekaguman terhadap kepimpinan seorang wanita yang tinggi rasa empati, cinta, prihatin dan kasih sayang kepada rak­yatnya serta manusia sejagat.

Persoalan yang harus ditanya kepada umat Islam ialah sejauh manakah kita dapat meneladani keperibadian figura ini tatkala berdepan dengan ujian seum­pamanya?