Hanya tiga patah perkataan itu boleh menggambarkan feno­mena yang kini telah dicetuskan oleh filem adi wira terbaharu Marvel tersebut yang bakal bermula ta­yangannya di pawagam seluruh Malaysia menjelang 24 April ini – dua hari lebih awal berbanding di Amerika Syarikat (AS).

Ya. 24 April. Bukan esok, lusa atau minggu depan tetapi lebih dua minggu lagi!

Sejak dibuka untuk tempahan tiket pada 2 April lalu, hasil pemerhatian penulis sebagai seorang pengamal media (sehingga hari ini, 8 April, 2019) mendapati, di rangkaian pawagam seluruh negara hanya tinggal tiga barisan hadapan yang masih belum ditempah tiketnya untuk me­nyaksikan filem itu.

Dan senario itu bukan setakat pada hari pertama tayangan pada 24 April tersebut, tetapi sehingga 1 Mei depan!

Bagi peminat wayang seperti diri penulis sendiri, tidak akan sesekali menonton filem terutama genre aksi seperti Avengers: Endgame di mana-mana kerusi dalam tiga baris depan pawa­gam.

Pengalaman penulis (ketika belum menjadi pengamal media) menonton filem aksi lakonan Arnold Schwarzenegger, Terminator 2: Judgment Day pada tahun 1991 di barisan paling depan (disebabkan pawagam penuh) memang tidak ingin dan akan diulangi lagi.

Sebabnya sehari selepas keluar dari pawagam tersebut, penulis mengalami pening-pening kepala dan akhirnya demam.

Penulis tidak boleh bayangkan spesies manusia apakah yang tegar menonton wayang di barisan paling depan tanpa me­ngalami sebarang impak dari segi kesihatan, tambahan di rangkaian pawagam masa kini dilengkapi pelbagai kecanggihan terutama dari segi sistem bunyi­nya yang sangat ‘hidup’ itu.

Sementelah, durasi tayangan Avengers: Endgame khabarnya lebih daripada tiga jam!

Justeru, apakah alternatif bagi yang gagal menempah tiket untuk turut menjadi antara golo­ngan terawal menonton filem tersebut?

Lalu muncul golongan yang lebih gila lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang telah menempah tiket filem tersebut menawarkan untuk menjualnya pada harga yang tinggi.

Menurut laporan, harga seke­ping tiket di pawagam biasa di Malaysia ditawarkan sehingga mencecah RM700 sekeping!

Di Amerika Syarikat pula, dilaporkan harganya melambung tinggi dibida menerusi laman eBay antara AS$100 (RM400) hingga AS$1,000 (RM4,000), malah mencecah AS$9,199 (RM36,796) masing-masing ha­nya untuk sepasang tiket.

Memang tidak masuk akal.

Justeru, apakah faktor yang mencetuskan kegilaan di luar akal fikiran dalam kalangan pe­minat wayang terhadap Avengers: Endgame?

Satu jawapan kepada persoalan itu adalah ia menyediakan kesimpulan atau jawapan kepada kesemua 22 buah naskhah dalam francais filem adi wira Marvel yang telah ditayangkan termasuk yang terbaharu, Captain Marvel.

Audiens yang telah menonton kesemua filem-filem adi wira Marvel sebelum ini, terutama naskhah tahun lepas, Avengers: Infinity War yang menampilkan babak akhir tergantung, dengan sebahagian adi wira Marvel termasuk Spider-Man dan Black Panther musnah penuh misteri menjadi debu, pasti dahagakan kepada suatu penjelasan yang munasabah menerusi Avengers: Endgame.

Namun, ada realiti yang tersi­rat di sebalik kegilaan yang tersurat terhadap filem-filem adi wira tersebut.

Seperti pandangan pengkritik filem AS, Erin Free menerusi tulisannya pada 2016 bahawa di sebalik kegilaan terhadap filem-filem adi wira, realitinya masyarakat global hari ini sebenarnya memerlukan kepada wira penyelamat dunia.

“Sama ada ia serangan pengganas, populasi dan kadar jenayah yang semakin meningkat, keruntuhan ekonomi, krisis kewangan global, serangan virus pembunuh berjangkit, atau hanya kesesakan lalu lintas, dunia kita secara berterusan pada bila-bila masa seperti berada dalam ancaman dihiris pisau yang tajam.

“Justeru sebagai suatu eskapisme, orang ramai secara tidak langsung menginginkan kewujudan golongan adi wira bagi mengatasi ancaman ke­semua kengerian yang berlaku di dunia ini,” tulis Free.

Namun bagi penulis, eskapisme itu tidak perlu gila sehingga sanggup membayar RM700 ha­nya untuk sekeping tiket wayang.