Pertarungan ketika itu merupakan kesan daripada pergolakan politik dalaman parti sehingga membawa seteru Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah menentangnya melalui kem Parti Semangat 46. Situasi itu begitu mendebarkan seluruh rakyat Malaysia kerana tokoh-tokoh utama politik negara bertelagah.

Berbeza pilihan raya umum 1986 iaitu setahun selepas peristiwa Memali, ternyata Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan seteru tradisinya, Pas.

Arus kebangkitan Islam yang cuba dieksploitasikan oleh Pas gagal membuahkan hasil melalui sokongan kepada peti undi. Cuma pada tahun 1990, hasil kerjasama di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pas kembali berkuasa di Kelantan dengan majoriti paling besar pernah diperolehnya dan berjaya mengekalkan kuasa selama hampir 28 tahun.

Namun Pas jauh sekali mempunyai kemampuan untuk mencabar BN tanpa ke­sepakatan politik dengan parti-parti pembangkang lain. Pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 sekali kali menyaksikan pertembungan yang terjadi akibat krisis dalam UMNO apabila Timbalan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat. Meskipun hasil ke­sepakatan politik antara Parti Keadilan Rak­yat (PKR) yang diasaskan Anwar, Pas dan DAP, BN masih tetap kekal memerintah. Seba­nyak tiga kali pilihan raya umum iaitu pada 2004, 2008 dan 2013, BN diasak dengan gerombolan pakatan politik pembangkang hingga akhirnya menyebabkan ia hilang majoriti dua pertiga.

Cabaran besar menanti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini ialah pakatan pembangkang kini diterajui sendiri oleh bekas orang kuat BN, Dr. Mahathir. Persoalannya sekarang ialah sejauh mana ge­rombolan kesepakatan politik itu mampu merubah status quo pemerintahan negara?

Jika dahulu Tengku Razaleigh pernah cuba menggegarkan politik Semenanjung dengan melebarkan pengaruh ke Sabah namun keadaan bertukar 360 darjah selepas isu tengkolok.

Pada PRU-14, sekali lagi Sabah dilanda angin politik yang mendebarkan. Namun tumpuan lebih diberikan kepada Semenanjung. Ne­geri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan menjadi medan yang begitu sukar bagi BN. Parti pembangkang yang pincang tanpa Pas pula menyasarkan negeri-negeri kubu kuat UMNO seperti Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka. Dalam pertembu­ngan antara BN dan gabu­ngan parti pembangkang, Pas mahu muncul sebagai kuasa penentu meskipun dalam sepanjang sejarah parti itu tidak pernah meraihkan kemenangan besar secara bersendirian.

Apa yang menjadi perkara utama bagi 14.9 juta pengundi untuk membuat penentuan ialah sejauh mana kerajaan yang dibentuk selepas PRU-14 adalah stabil.

Kuasa undi dalam pilihan raya bukan sekadar bernilai sekampit gula atau beras. Pengundi tidak boleh membuat penilaian atas apa yang mereka dapat atau tidak dapat.

Sebaliknya ia adalah satu mandat yang perlu diberikan kepada pihak yang benar-benar mempunyai keazaman politik dan komitmen untuk memelihara keutuhan sebuah negara bangsa.

Sejauh mana pilihan raya umum kali ini dapat mengelakkan berlakunya isu polarisasi dalam keadaan pengundi membuat perkiraan mengikut undi blok berasaskan kaum merupakan hal yang perlu diambil perhatian. Paling bahaya jika dogma dan sentimen agama dijadikan bahan kempen.

Ada negara yang menemui kegagalan akibat pergolakan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia. Namun akhirnya negara tersebut seperti Syria dan Yemen hancur akibat perang dan mengundangkan campur tangan kuasa asing. Sewajarnya rakyat menggunakan demokrasi tanpa mengorbankan kestabilan dan ke­utuhan sebuah negara.