Perancangan kami untuk bertolak ke kampung pada pukul 3.45 petang, 10 Ogos. Keputusan dibuat bagi mengelak kesesakan jalan raya ke­rana beranggapan ramai penduduk kota sudah pulang ke kampung.

Perjalanan bermula dari bandar Ampang melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 kelihatan tenang. Tiada kesesakan namun ujian bermula sebaik menghampiri Zoo Negara.

Apabila kami tiba di Plaza Tol Gombak, jam menunjukkan pukul 6 petang. Bermakna lebih dua jam kami ‘merangkak’ atas jalan.

Selepas berhenti seketika di stesen mi­nyak selepas tol Gombak, kami meneruskan perjalanan sebelum sangkut semula dalam kesesakan di Bentong dan Raub.

Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam, kami berhenti­ seketika di Hentian Rehat Benta, Pahang. Lokasi ini dan Ampang ibaratkan separuh perjalanan kami ke Kelantan. Kesempatan ini digunakan untuk berehat, menjamu selera dan menunaikan solat.

Anak-anak juga dimandikan sebelum kami meneruskan pemanduan ke kampung.

Pemanduan mengambil masa kira-kira dua jam bagi jarak 30 kilometer (km) sebelum kami membelok masuk ke Le­buh Raya Central Spine Road. Ini merupakan laluan pintasan baharu yang dibina kerajaan membabitkan jarak sepanjang 41.35km dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai di Lipis.

Manfaat laluan ini amat besar bagi anak-anak perantau apatah lagi penduduk di ibu kota untuk pulang ke Kelantan. Akses kemudahan ini mengubat penderitaan me­nempuh perjalanan satu lorong yang cukup berbahaya dan kerap berlaku kemalangan.

Melihat pada aplikasi Waze, jarak hanya 14 kilometer lagi untuk kami susur keluar dari Lebuh Raya Central Spine Road. Anggaran masa berdasarkan kiraan Waze, ia membabitkan masa cuma 90 minit.

Hakikatnya, kami terpaksa berhenti beberapa kali dan bertukar pemandu kerana kaki makin kebas. Saya juga sempat berborak dengan pemandu kereta se­belah semasa­ kenderaan kami beratur ibarat kereta dalam gudang.

Penantian akhirnya ber­akhir, kami berjaya keluar dari­pada laluan dengan had laju 90km sejam iaitu ketika azan Subuh berkumandang. Pendek kata, habis masa enam jam untuk jarak 30km. Kalau berjalan kaki, rasanya sudah lama kami sampai di rumah.

Apa sebab kesesakan tak masuk akal berlaku di laluan ini? Puncanya, laluan mulut botol. Diringkaskan, tiga laluan bercantum jadi satu pada penghujung lebuh. Ini menyam­bung semula ke jalan lama yang membuatkan perjalanan semakin mencabar.

Untuk rekod, isteri penulis mendakwa sebelum ini dia cuma menghabiskan masa kira-kira tiga jam untuk melalui jalan itu pada musim pe­rayaan kira-kira enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kami ber­syukur kerana perjalanan menjadi lancar selepas itu. Kami berhenti solat Subuh di masjid pertama yang ditemui sebaik keluar daripada lebuh raya itu tetapi gagal mencari kedai makan yang dibuka ke­rana hari tersebut merupakan Hari Raya Aidiladha.

Kira-kira pukul 9 pagi, kami tiba di kampung ketika ahli keluarga isteri sedang bersiap untuk mengambil gambar kenangan selepas pulang dari solat sunat Aidiladha.

Selepas bersalaman, makan bekalan yang dibawa sementara anak-anak menyambung tidur, kami meraikan keha­diran tetamu yang ada sebelum melelapkan mata.

Adik penulis yang turut bertolak pada hari sama kira-kira pukul 3 petang dari rumahnya di Kelana Jaya, Selangor terpaksa mengharungi perjalanan 25 jam untuk tiba ke kampung.

Inilah pengorbanan me­nyam­but Aidiladha di kampung. Perjalanan memenatkan tetapi pengakhirannya melegakan.

Jika ditanya sama ada serik untuk balik kampung untuk menyambut Aidiladha, tidak juga. Secara peribadi, kampung itu adalah suasana kehidupan penuh dengan nikmat sebenar dan tenang. Inilah yang kami panggil rumah.