Tragedi yang menimpa keluarga Mohd. Fadzil Moha­mad itu mengakibatkan tiga anaknya, Nur Ziah Fasihah, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Muhammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara isteri Mohd. Fadzil, Zuraidah Md. Ali dan anak sulungnya, Nur Zuryn Faziera, 9, dan seorang rakan anaknya mengalami kecederaan.

Mereka merupakan mangsa amukan seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang bekerja bersama Mohd. Fadzil sebagai pemungut kelapa sawit di Kampung Su­ngai Haji Muhammad di Rungkup, Bagan Datuk, Perak.

Tidak perlu lagi penulis perincikan tentang tragedi tersebut, namun dapat dibayangkan bagaimana pe­rasaan ahli keluarga Mohd. Fadzil dalam menghadapi ketentuan Ilahi pada hari pertama bulan penuh barakah ini.

Penulis berdoa agar tiada lagi tragedi menyayat hati berlaku, khususnya di negara kita setidak-tidaknya dalam tempoh sebulan menjalani ibadah puasa ini.

Emosi sedih tetapi dalam konteks berlainan pula dikongsi oleh pelakon popular Nazim Othman, 34, dan Bella Dally, 27, apabila Ramadan menjadi saksi perceraian mereka selepas mula berkongsi hidup sebagai suami isteri pada 10 September, 2016.

Namun, bagi petugas media seperti penulis sebenar­nya Ramadan kali ini agak mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai kisah panas dalam senario dunia politik Malaysia pada ketika ini rentetan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Memang tidak menang tangan petugas media dalam menangani satu persatu berita yang perlu dilaporkan sejak keputusan PRU-14 diumumkan pada 9 Mei lepas.

Sebagai seorang manusia, penulis akui turut tersentuh emosi dengan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, 70, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehari sebelum sambutan Ramadan selepas dipenjara selama 5 tahun.

Menolak ke tepi soal politik, pembebasan Anwar itu setidak-tidaknya membolehkan keluarganya menyambut Ramadan kali ini dengan hati yang berbunga kebahagiaan.

Dalam pada itu, emosi penulis turut tersentuh kerana masih diberikan kesempatan pada tahun ini, bukan sahaja bagi menjalani ibadah puasa tetapi untuk menge­tahui tentang waktu puasa terlama dan terpendek di dunia.

Menurut laman Gulf News, posisi negara yang dekat dengan garis khatulistiwa mempengaruhi tempoh pelaksanaan puasa. Di negara-negara yang dilewati garis khatulistiwa seperti Indonesia, Arab Saudi, India, dan Pakistan, puasa berlangsung antara 15 hingga 16 jam.

Negara-negara di utara bumi memiliki tempoh puasa yang sangat panjang, paling lama mencecah 21 jam 2 minit iaitu di Greenland sementara tempoh waktu puasa tercepat ialah di Argentina selama 11 jam 32 minit.

Paling menarik hati penulis ialah berlaku keajaiban yang dialami penduduk Muslim di kawasan utara Kanada kerana pada setiap hari matahari sentiasa muncul dan tidak pernah terbenam sehingga tidak ada malam di situ.

Para ulama lantas menetapkan Muslim di kawasan tersebut mengikuti ketentuan puasa Mekah atau negara kawasan Timur Tengah terdekat.

Fenomena siang selama 24 jam sebenarnya berlaku di situ setiap bulan Jun hingga Julai, tetapi menakjubkan apabila pada tahun ini ia bertepatan dengan waktu Ramadan.

Sesungguhnya itu lambang kebesaran Allah dan penulis berdoa semoga umat Islam seluruh dunia dapat me­nyambut Ramadan kali dalam keadaan aman dan damai.