Dalam kes pakej haji VIP itu, kesemua mangsa dikatakan telah membelanjakan antara RM50,000 hingga RM200,000 seorang untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut yang membolehkan mereka menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah pada musim haji yang lepas. Namun, semua mangsa hanya mampu berputih mata.

Sebenarnya, kes yang membabitkan 35 mangsa itu bukanlah pertama kali berlaku di negara ini. Malah, ia merupakan antara puluhan kes penipuan membabitkan jemaah haji atau umrah di negara ini membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Kes-kes penipuan melibatkan jemaah-jemaah haji atau umrah ini sudah banyak kali dipaparkan di dada-dada akhbar, media elektronik dan sosial.

Bilangan mereka yang terpedaya dengan kegiatan licik oleh pihak tidak bertanggungjawab ini tetap bertambah dengan ada sahaja mangsa-mangsa yang terpedaya.

Malah, dalam sesetengah kes, mereka yang menjadi mangsa penipuan ini bukanlah calang-calang orang. Ada yang terdiri daripada golongan cerdik pandai.

Persoalannya, mengapakah kes-kes penipuan seperti ini terus terjadi dan ia berlaku seolah-olah masyarakat kita begitu mudah diperdaya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan duit secara haram.

Permasalahan itu sebenarnya boleh dielakkan jika semua bakal haji atau umrah bersedia untuk memilih syarikat pengurusan haji atau umrah yang berlesen.

Namun, ramai dalam kalangan kita yang suka mengambil jalan pintas seperti ingin menunaikan ibadah haji dengan kadar segera.

Dalam kes umrah pula, ramai sebenarnya yang mudah terpengaruh dengan tawaran pakej murah tidak masuk akal oleh pihak-pihak tertentu.

Sebagai contoh, orang ramai perlulah berhati-hati dan mula mempersoalkan pakej-pakej umrah yang ditawarkan dengan harga serendah RM3,500 dan ke bawah memandangkan harga tiket kapal terbang untuk pergi dan balik ke Tanah Suci sahaja sudah mencecah hampir RM4,000.

Sepatutnya, siasat dulu latar belakang sesebuah syarikat itu dan jangan mendaftar dengan syarikat-syarikat yang tidak berlesen.

Justeru, semua bakal haji atau umrah yang berhasrat menggunakan khidmat selain Tabung Haji atau Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji perlulah merujuk terlebih dulu kepada pihak berkuasa atau Tabung Haji sendiri.

Ini adalah kerana pihak berkuasa hanya memberikan lesen kepada beberapa syarikat tertentu untuk menguruskan segala urusan mengenai pakej menunaikan haji atau umrah.

Sebaik-baiknya segala urusan ke Tanah Suci perlulah melalui mereka yang bertauliah dan bukannya dengan syarikat-syarikat yang tidak diiktiraf.

Langkah ini penting supaya ia boleh membendung gejala penipuan membabitkan janji-janji manis yang ditaburkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Secara tidak langsung, penggunaan syarikat-syarikat bertauliah juga dapat memastikan orang ramai sampai ke Tanah Suci dan menunaikan ibadat haji atau umrah dengan sempurna.