Walaupun ramai dalam kalangan pelakunya berjaya ditangkap pihak berkuasa kerana kelibat mereka berjaya dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid-masjid atau di surau-surau, namun ia bagaikan tidak sedikit pun menakutkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini untuk terus melakukan aktiviti tidak bermoral itu di tempat masyarakat Islam beribadat.

Kejadian demi kejadian melibatkan kes kecurian pelbagai barang berharga ketika para jemaah sedang bersolat tetap juga berlaku walaupun banyak kes terdahulu telah menjadi bahan tular di laman-laman sosial dengan wajah-wajah si pencuri terpampang jelas melalui rakaman CCTV.

Pemasangan CCTV di kebanyakan masjid atau surau pula seolah-olah langsung tidak menakutkan para pencuri ini untuk terus menjadikan rumah ibadat sebagai tempat mereka mencari mangsa dan menjalankan kegiatan haram itu.

Pelik bukan, masjid atau surau yang sepatutnya menjadi tempat untuk sebahagian besar masyarakat Islam beribadat kepada Allah telah turut menjadi sasaran para pencuri untuk mencari habuan mereka.

Lebih menyedihkan, si pelakunya pula terdiri daripada mereka yang seagama dengan kita sendiri. Ketika para jemaah khusyuk bersolat, para pencuri ini tidak ikut serta bersolat, sebalik­nya sibuk mencari mangsa.

Persoalannya, mengapa masjid atau surau sering menjadi tumpuan para pencuri ini untuk melakukan kegiatan mereka? Apa sebenarnya yang mendorong si pencuri untuk mencuri barang-barang berharga milik jemaah yang sedang khusyuk bersolat?

Deretan kes kecurian yang berlaku di masjid dan surau di seluruh negara seharusnya membuka mata kita semua untuk mencegah kejadian seumpama itu daripada terus berlaku.

Sebenarnya, kes-kes kecurian di tempat ibadat ini kebanyakannya adalah bermula daripada kita sendiri.

Sikap sebahagian daripada kita yang gemar membawa barangan berharga seperti wang yang banyak, komputer riba, barang kemas atau telefon bimbit ketika ke masjid atau surau itulah yang sebenarya me­ngundang berlakunya jenayah itu di rumah Allah itu.

Kebanyakan daripada mereka ini pula tidak sedar yang diri mereka diperhatikan oleh para penjenayah yang hanya menunggu peluang untuk ‘menerkam’ mang­sa apabila mereka terleka.

Sebagai jalan keluar, tidak perlulah kita membawa barangan berharga ketika ke masjid atau surau untuk bersolat kerana ia sebenar­nya boleh menarik keha­diran penjenayah.

Jika kita tidak mempunyai pilihan sekalipun sehingga terpaksa juga membawa beberapa barang berharga tertentu ketika ingin ke masjid, maka buatlah giliran untuk menjaga barangan berharga yang dibawa itu dengan salah seorang daripada kita ditugaskan untuk menjaga barangan tersebut.

Jangan sekali-kali memandang mudah mengenai perkara ini, kerana para penjenayah memang licik sehingga ada sanggup me­langkah jemaah yang sedang sujud demi mencapai apa yang dihajati mereka.

Jadi kesimpulannya yang paling mudah, tidak usahlah bawa barangan berharga ke masjid, lebih-lebih lagi bagi kaum wanita yang merupakan mangsa kejadian kecurian di masjid atau surau yang paling ramai setakat ini.

Kepada pihak jawatankuasa masjid pula, mereka mungkin perlu memainkan peranan aktif untuk me­ngingatkan para jemaah masjid atau surau agar sentiasa berhati-hati atau mengambil langkah ke­selamatan jika membawa barangan berharga ketika hadir untuk bersolat.