Bukan sengaja tidak mahu prihatin tetapi orang lain juga sudah jelak de­ngan keegoan yang menebal. Orang seperti ini sukar untuk melihat kebenaran pada orang lain melainkan pada diri sendiri sahaja. Justeru golongan ini dibiarkan begitu sahaja ditengge­lami ke­egoan dan akhirnya menyesal sendiri.

Padahal pada kaca mata orang lain manusia jenis ini mempunyai kesilapan di sana sini. Malangnya golongan ini tidak ubah seperti seekor ayam jantan. Ia merasakan sudah cukup cantik dan elok pada pandangan mata, malangnya apabila berkokok berderai-derai, ekor pula bergelumang tahi.

Manusia sebegini masih banyak bertebaran dalam dunia ini. Mereka inilah juga mewarnai kehidupan di mana-mana. Tanpa disedari, boleh disimpulkan kebanyakan kerosakan di dunia berpunca daripada manusia yang gagal melihat keburukan diri sen­diri melainkan mereka sahaja yang sempurna.

Tidak dinafikan kerosakan alam sekitar, kemalangan maut di jalan raya, kejadian jenayah, ketidakpedulian dan bermacam-macam lagi kebanyakannya berpunca daripada manusia yang bersikap demikian.

Contohnya, manusia sedemikian merasakan adalah lebih bermanfaat untuk merosakkan alam sekitar bagi merealisasikan pembangunan mewah padahal ia bukan untuk faedah rakyat terbanyak melainkan demi keuntungan sendiri.

Justeru kepada orang sekeliling, mereka bukan tidak prihatin atau menegur ketempangan tersebut tetapi se­perti yang dinyatakan, ke­egoan atau merasakan diri sendiri sahaja yang betul sering menjadi penghalang kepada pembetulan. Lantas golongan itu dibiarkan sahaja melakukan kerosakan.

Tidak hairanlah di bahagian-­bahagian tertentu di dalam dunia ini pepera­ngan masih berlaku, kadar kemalangan yang tinggi, pembulian terus berleluasa malah perdagangan secara kotor sukar dibanteras. Begitu­pun, golongan ini sudah pasti tidak terlepas daripada pembalasan dan menerima hukuman. Begitulah putaran hidup dan janji dunia.

Bagaimanapun di bahagian lain di dunia ini, keamanan tetap mewarnai kehidupan, kesihatan menjadi jaminan menyebabkan manusia yang hidup di bahagian tersebut begitu cintakan kehidupannya.

Kata orang, jika mahukan ‘lesen’ untuk disayangi, seseorang itu perlu menyayangi dirinya terlebih dulu. Ini adalah asas. Keburukan yang berlaku di atas dunia ini ber­punca daripada kegagalan dalam menyayangi diri sen­diri apatah lagi menarik orang lain menyayangi dirinya.

Menyayangi diri sen­diri dan menyayangi orang lain adalah begitu penting sekali. Ia memupuk dan mengekalkan keamanan. Kasih sayang yang menipis sudah pasti akan merebak menjadi kemusnahan.

Malangnya kehidupan serba moden kini telah meletakkan manusia menjadi keliru atau lupa kepada kasih sa­yang. Akhirnya kemusnahan yang berlaku bukan kerana ada faktor-faktor lain tetapi atas sebab keburukan diri manusia itu sendiri.

Sesama Kita – Banyak ayat al-Quran yang memberitahu manusia tentang kasih sayang Allah terhadap ciptaan-Nya. Begitupun apabila ghairah untuk melakukan kemusnahan atau menghadapi kesukaran, manusia kerap melupakan Tuhan.

Bermula dengan ayat pertama surah al-Fatihah sen­diri yang menyatakan, ‘De­ngan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penya­yang.’ Itulah tunjangnya tetapi perangai manusia melupakan kasih sayang Allah dengan merosakkan diri dan dunianya sendiri.

Surah al-Kautsar menyebut, ‘Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.’ Memang nikmat yang diberikan kepada manusia begitu ba­nyak, tetapi manusia kerap ­lalai sehingga memusnahkan diri sendiri. Padahal ayat 110 surah al-Nisa, Allah berfirman, ‘Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’