Hampir di setiap tempat terdapat kemudahan tersebut bagi membolehkan golongan yang sibuk bekerja membasuh pakaian mereka tanpa me­ngira masa.

Selain itu, kebanyakan dobi layan diri ada menjual sabun dan cecair pelembut pakaian bagi memudahkan pelanggan yang mungkin terlupa untuk membawanya dari rumah.

Sebenarnya, perkhidmatan dobi layan diri yang mula popular sejak beberapa tahun lalu di negara ini memberikan bukan sahaja khidmat untuk mencuci malah mengering pakaian dalam tempoh singkat.

Negara kita sebenarnya agak lewat dalam industri dobi layan diri kerana ia telah diperkenalkan di England seawal tahun 1949 lagi. Di England, perkhid­matan itu dikenali sebagai launderettes manakala di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia pula ia dinamakan laundromats.

Biarpun kemudahan itu diperkenalkan untuk memberi kemudahan kepada pengguna tetapi ia tidak memberi apa-apa makna jika sikap kita masih tidak mahu berubah dengan mementingkan diri sendiri dan menjadikannya seolah-olah milik peri­badi.

Sikap mementingkan diri sendiri hanya menyusahkan pengguna lain.

Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang perlu diambil berat oleh pengguna perkhidmatan tersebut kerana khidmat layan diri bukan tempat untuk mementingkan diri sendiri.

Kerap terjadi pelanggan membiarkan pakaian yang telah selesai dicuci atau dikeringkan lebih daripada had masa ditetapkan.

Terdapat juga sikap pelanggan bertindak keluar agak lama dari premis dobi selepas memasukkan pakaian sama ada ke dalam mesin pencuci atau pe­ngering sebelum kembali semula sehingga menyusahkan orang lain yang ingin menggunakannya.

Perkara itu berlaku kepada penulis baru-baru ini ketika mengunjungi sebuah premis dobi layan diri berhampiran tempat tinggal.

Sebaik melangkahkan kaki ke dalam premis itu, terdengar suara seorang wanita seolah-oleh marahkan sesuatu. Rupa-rupanya dia marahkan pelanggan yang menggunakan dua mesin cuci tetapi tidak mengambil cucian biarpun mesin itu telah lama berhenti berputar.

Selepas menunggu hampir setengah jam, pe­langgan tersebut muncul dan hampir berlaku pergaduhan. Mujurlah beberapa orang yang ada di situ dapat menenteramkan keadaan.

Kes seperti ini rupanya bukan perkara baharu kerana dikhabarkan terdapat kes serupa di tempat lain memandangkan perangai ‘buruk’ dan mentaliti orang kita masih tidak berubah.

Kita kena ingat masa dan keperluan seseorang tidak sama dengan orang lain. Masa itu penting. Jika setiap mesin pencuci dan pengering ada had masa yang ditetapkan, maka pantau dan ikut apa yang ditetapkan.

Kita sendiri yang perlu bertanggungjawab dalam hal ini dan bukan lepas tangan kepada orang lain. Jangan sampai ia mencetuskan pe­rasaan tidak puas hati orang lain dengan perbuatan kita.