Dikhabarkan, Chong Wei terpaksa ‘bercuti’ panjang akibat masalah pernafasan. Dia perlu berehat bagi menjalani rawatan pemulihan dan tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti fizikal.

Akibat masalah kesihatan yang serius itu, Chong Wei menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang berakhir Ahad lalu dan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia pada 19 hingga 28 Ogos depan.

Perkhabaran mengejut di kem badminton negara itu sudah pasti mengundang pelbagai tanda-tanya dalam kalangan pemerhati dan peminat sukan negara.

Ramai yang tertanya-tanya, adakah Chong Wei yang kini berada di Taiwan untuk menjalani rawatan akan kembali ke ge­langgang atau ‘menggantung raket’ buat selama-lamanya?

Bagi penulis, andai Chong Wei terpaksa meninggalkan dunia badminton akibat masalah kesihatan yang dialami ketika ini, ia satu noktah cerita yang cukup menyedihkan.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan badminton negara mahupun dunia sudah seakan-akan sinonim dengan nama Chong Wei. Apa tidaknya, kelibat Chong Wei di tengah gelanggang sentiasa menggamit tumpuan.

Chong Wei cukup disenangi kawan mahupun lawan, baik di dalam atau di luar gelanggang. Sikapnya yang gemar merendah diri setiap kali turun ke gelanggang menjadikan Chong Wei antara bintang sukan dunia yang cukup dikenali ramai.

Pelbagai gelaran diberi kepada Chong Wei hasil deretan kejayaan diciptanya setakat ini. Wira, hero, penyelamat mahupun pejuang sentiasa meniti di bibir peminat sukan khususnya badminton Malaysia bagi menggambarkan aura yang dimiliki bekas pemain No. 1 dunia itu.

Sepanjang 17 tahun mengerah keringat sebagai pemain negara, Chong Wei membuktikan betapa dia berada dalam kelas tersendiri hasil deretan kejayaan yang digapai.

Koleksi 69 gelaran juara di pentas antarabangsa terma­suk meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik (2016, 2012 dan 2008) dan tiga kali muncul naib juara dunia (2015, 2013 dan 2011) sudah cukup menceritakan kehebatan Chong Wei.

Tidak cukup dengan itu, Chong Wei membuktikan dia semenangnya berhak digelar hero sejati negara apabila me­rangkul 12 kejuaraan Terbuka Malaysia termasuk yang terbaharu ketika dia mengecap detik kemasyhuran itu pada tanggal 1 Julai lalu.

Sebagai rakyat Malaysia, apa lagi yang kita harapkan daripada kudrat tenaga pemain berusia 36 tahun itu. Tidak cukup­kah lagi koleksi kejuaraan yang dihadiahkan Chong Wei kepada Malaysia sehingga hari ini.

Secara peribadi, penulis berpendapat mungkin sudah sampai masanya Chong Wei mengundur diri, berehatlah secukup-cukupnya. Inilah masanya Chong Wei meluangkan masa bersama ahli keluarga terutamanya isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anaknya, Kingston dan Terence. Segala pengorbanan dan perjuangan yang dicurahkan Chong Wei selama ini tiada tolok banding­nya.

Biarpun belum pernah mengucup kilauan emas Olimpik mahupun menggengam medal juara dunia sepanjang karier­nya, Chong Wei sudah berada pada satu tahap yang cukup membanggakan.

Dia tidak perlu kesal dengan apa yang telah menimpanya ketika ini. Chong Wei sendiri mengakui hatinya kini lebih tenang andai terpaksa mengundurkan diri dalam masa terdekat selepas membuat penampilan terakhir pada kempen Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei lalu.

Kata Chong Wei, dia percaya Malaysia sudah mempunyai beberapa pemain muda yang mampu menggantikan tempatnya seperti Lee Zii Jia serta Leong Jun Hao.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, inilah masanya untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanan yang disumbangkan Chong Wei sepanjang kariernya. Sebaik-baiknya, kita mendoakan Chong Wei kembali pulih dan berharap wira negara kita itu dapat merealisasikan impiannya beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.